HomeUtamaUmat Islam dituntut berusaha mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah

Umat Islam dituntut berusaha mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah

Read Time:2 Minute, 34 Second

TAWAU: Umat Islam dituntut supaya berusaha mengikut panduan al-Quran dan as-Sunah agar kehidupan sentiasa di atas jalan yang benar, bermuhasabah diri seterusnya berusaha menyuburkan sifat ketakwaan serta meningkatkan ilmu pendidikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, sebagaimana kitab suci al-Quran banyak menyarankan berhubung ilmu, pendidikan, sahsiah, akhlak dan pembangunan insan, sudah pasti faktor ini tidak boleh ditinggalkan sebagai tunjang utama dalam membangunkan negeri Sabah yang tercinta.

“Justeru itulah dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kita mengambil berat terhadap faktor modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang utama hala tuju SMJ itu sendiri.

“ Kerajaan amat mengambil berat keperluan pendidikan dan bidang kemahiran anak-anak Sabah. Kerajaan membelanjakan dana yang besar untuk membiayai anak-anak kita melanjutkan pengajian di dalam dan di luar negeri melalui biasiswa, derma siswa oleh kerajaan negeri, Yayasan Sabah, MUIS dan beberapa agensi yang lain bagi memudahkan anak-anak kita menimba ilmu pengetahuan,” katanya.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (dua kiri) diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada Nur Faten Izzati Rablin mewakili daerah Kota Kinabalu yang muncul sebagai Johan Qariah pada Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/ 2022M di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, semalam.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (dua kiri) diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada Nur Faten Izzati Rablin mewakili daerah Kota Kinabalu yang muncul sebagai Johan Qariah pada Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/ 2022M di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, semalam. – Foto ihsan JKM

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah
serta Menghafaz al- Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022M di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pada Rabu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah menyempurnakan Perutusan Penangguhan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong serta jemaah menteri Kabinet negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan GRS-BN juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan bebanan pelajar dalam mereka mengikuti pelajaran dan pembelajaran.

“Kerajaan telah memperkenalkan bantuan untuk anak-anak yang pertama kali menduduki pengajian di universiti dengan memberikan mereka one off sebanyak RM2,000 seorang dikenali sebagai BUDI.

“Bagi yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM, setiap mereka mendapat one off RM200 sebagai persiapan menduduki peperiksaan yang dinamakan “BAKTI,” katanya sambil menambah seramai 5,000 pelajar telah mendapat bantuan BUDI pada 2021 manakala 40,000 pelajar menikmati bantuan “BAKTI.

Sehubungan itu, beliau berkata perpindahan ibu kota negara (IKN) Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur juga sudah pasti akan memberi banyak peluang ekonomi kepada Sabah khususnya di Tawau.

“Sebagai kawasan paling hampir dengan sempadan Indonesia, pembangunan di wilayah Tawau akan diberi fokus dan tumpuan, terutama sekitar jajaran Serudong-Simanggaris. Ini penting bagi memastikan Sabah sendiri dapat memanfaatkan sepenuhnya pembangunan besar dijangkakan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hamdi Yusop @ Yusof dari Papar dan Nurfaten Izzati Rablin dari Kota Kinabalu, muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022M di sini malam tadi.

Hamdi dan Nurfaten masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan hadiah iringan.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular