RM7 juta diperuntukkan laksana pembersihan kawasan tanaman baharu RPHK

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembukaan dan pembersihan 350 hektar kawasan tanaman baharu dibawah Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko (RPHK) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Anak Mongin berkata, kerja-kerja itu akan dilaksanakan dengan menggunakan khidmat kontraktor.

Katanya, menerusi program itu, para pekebun akan dibekalkan anak benih pokok koko, anak benih pokok pelindung, bekalan baja dan racun bagi menggalakkan pekebun kecil menanam koko.

“Di samping itu, 25 unit mini pemprosesan koko dengan kapasiti dua tan akan dibina di seluruh negara bagi membantu para pekebun kecil menjalankan aktiviti pengeringan biji koko.

“Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut akan dipertingkatkan bagi menambah daya saing agrikomoditi koko melalui pembangunan bahan tanaman dan penggunaan klon-klon koko berhasil tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Pelatih Super Koko (PSK) Sabah dan pelancarangan aplikasi di sini semalam.

Willie berkata, R&D juga perlu dijalankan bagi membangunkan tanaman tahan penyakit dan perosak serta menggunakan bioteknologi dalam meningkatkan pengeluaran koko berkualiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, kursus yang dilaksanakan itu adalah bertujuan untuk melatih seramai 43 peserta dalam kalangan pekebun koko terpilih menjadi PSK Sabah yang kompeten, berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan tanaman koko.

Katanya, PSK ini akan dilantik sebagai pekebun koko contoh dan pakar rujuk di kawasan kelompok koko.

“Manakala ejen pengembangan dan penyelia ladang Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang turut menyertai kursus PSK akan menjadi penyelia kepada PSK.

“Mereka akan memantai dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan teknologi koko kepada PSK di kelompok PSK berkenaan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *