Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Penduduk sekitar Pagalungan kini boleh mendapatkan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas ke Kalimantan, Indonesia di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.
Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
” Saya mahu berkongsi berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas. Mereka tidak perlu lagi
pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.
“Bagi memastikan “no wrong door policy”, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan turut menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya.
“Sehubungan itu, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.