Sabah harap akan terima pemberian khas lebih besar – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Sabah mengharapkan kadar pemberian khas Persekutuan kepada negeri ini akan terus dipertingkatkan bagi membolehkan lebih banyak inisiatif berorientasikan rakyat dapat dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor percaya pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri boleh menjadi formula yang terbaik untuk menangani isu-isu legasi antara Sabah dan Persekutuan Malaysia.

Berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Sabah yang dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini, Hajiji berkata, Sabah menghargai sokongan dan kerjasama padu daripada kepimpinan Persekutuan.

“Kami yakin pendekatan Keluarga Malaysia dapat mengeratkan hubungan, menyimpul persefahaman dan meningkatkan kerjasama di semua peringkat termasuk antara negeri dan persekutuan,” katanya.

Menurutnya, begitu banyak kemajuan telah mula dicapai, terbaharu persefahaman antara kedua-dua pihak pada 14 April lalu yang telah membawa kepada langkah pertama penyelesaian kajian semula kadar pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini saya ingin memaklumkan kepada Perdana Menteri hari ini bahawa tambahan hasil negeri yang diperolehi melalui kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta itu kita kembalikan terus kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata beliau telah mengumumkan bahawa wang itu akan digunakan untuk membina 1,500 Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.

Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif baharu Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkonsepkan program Projek Perumahan Termiskin (PPRT) di peringkat persekutuan.

“Hakikatnya, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menggerakkan dan menyusul siri rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

“Usaha ini telah dan sedang rancak berjalan melalui pelbagai platform dan diselaraskan di bawah mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji mencadangkan kerjasama negeri-persekutuan untuk menggabungkan program JAKM dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di peringkat akar umbi di Sabah.

Beliau berkata konsep inisiatif kerjasama itu adalah mini karnival yang akan diadakan di setiap bahagian atau daerah di negeri ini secara berperingkat.

“Program ini penting agar kita dapat menyemarakkan dan merakyatkan kedua-dua agenda kerajaan ini secara seiring dan meluas di peringkat akar umbi.

“Sebagaimana yang sering saya tegaskan, nilai dan makna sesebuah agenda pembangunan kerajaan seharusnya bukan hanya boleh didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat disemua peringkat,” katanya.

Hajiji berkata jerayawara JAKM itu adalah contoh terbaik cara untuk memastikan rakyat memperolehi maklumat, akses dan seterusnya manfaat daripada pelbagai dasar, inisiatif dan program kerajaan.

“JAKM ini bertepatan dengan strategi Kerajaan Negeri sebagaimana yang dilaksanakan baru-baru ini melalui Showcase Setahun Halatuju SMJ yang juga berlangsung di SICC,” katanya.

Hajiji mengulangi bahawa pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan Sabah di mana sikap saling menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan sebagai satu norma bagi rakyatnya.

“Kerajaan Negeri juga telah mengiktiraf pendekatan Keluarga Malaysia dengan meletakkannya sebagai satu kerangka yang memayungi pelaksanaan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *