Sukan penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Bidang sukan amat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan ‘minda yang cergas terletak pada tubuh yang sihat’.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, sukan juga memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif.

Katanya, ianya akan dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Darau kali ke-30 bagi sesi 2021/2022 yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Perhubungan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Romeo Ansow, semalam.

Selain itu, Yakub berkata, aktiviti seumpama ini dapat melahirkan insan yang sihat dan cergas.

Tambahnya, apa yang penting ialah aktiviti seumpama ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.

Kejohanan Balapan Dan Padang SK Darau Kota Kinabalu yang dijalankan ini terbahagi kepada beberapa acara, iaitu Acara Akhir Balapan Tahap 1 yang melibatkan murid-murid tahap 1 iaitu murid tahun 1, 2 dan tahun 3; Acara Sukantara tahap 2 yang melibatkan murid tahun 4, 5 dan 6, dan akhir sekali, Acara Akhir Padang dan Balapan yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu Kategori A (murid berumur 12 tahun-tahun 6) dan Kategori B (murid berumur 10 dan 11 tahun – tahun 4 dan 5).

Sementara itu, Romeo yang juga Pengerusi UMNO Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) berharap, semua acara yang dipertandingkan di peringkat sekolah ini akan dapat meningkatkan kualiti sukan sekolah, selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Turut diadakan ialah Acara Terbuka (lari berganti-ganti 4×100 meter dan tarik tali melibatkan guru dan ibu bapa) bagi menghiasi suasana temasya sukan.

Kehadiran Romeo disambut oleh Guru Besar sekolah, Ahmad Roshni Hj Mohd. Khalid. Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Azrul Puddin, Guru-Guru Besar OK9 Dewan Undangan Negeri DUN Karambunai, warga kerja SK Darau serta Ibubapa.

Romeo juga memuji semua iltizam dan komitmen daripada semua ahli jawatankuasa (AJK) induk dan kerja yang menjayakan temasya sukan ini.

“Semoga aktiviti seumpama ini akan dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *