Arthur sambut baik pengumuman Ismail Sabri berhubung Pas Lintas Batas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

NABAWAN : Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kemudahan mendapatkan Pas Lintas Batas di Pos Kawalan Imigresen Pagaluangan Nabawan.

Katanya, kelulusan itu akan memudahkan urusan penduduk di Daerah Kecil Pagalungan terutamanya dalam urusan imigresen dan pergerakan di antara negara jiran tanpa perlu pergi jauh ke Keningau.

“Dengan adanya kemudahan itu, sudah tentu ianya akan membuka lebih banyak peluang ekonomi setempat dan akan dapat meningkatkan lagi pembangunan di Parlimen Pensiangan,” katanya,.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Nabawan di sini semalam.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia berkata, projek menaik taraf jalan Sapulut – Pagalungan – Pensiangan sepanjang 96 kilometer telah dimulakan secara berfasa sejak tahun lalu.

Katanya, dengan adanya perhubungan jalan raya yang baik akan dapat melonjakkan lagi ekonomi Pensiangan

Terdahulu, beliau berkata, pelbagai aktiviti bagi menjaga kebajikan bekas anggota Polis telah dilaksanakan antaranya pengagihan bantuan makanan COVID-19 kepada ahli-ahli yang berdekatan serta bantuan kewangan kepada keluarga ahli yang telah meninggal dunia.

Katanya, melalui bantuan itu akan dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh ahli PBPM dan keluarga.

“PBPM memainkan peranan yang amat penting kerana melalui persatuan tersebut kebajikan bekas Polis dapat diperjuangkan disamping memberikan peranan kepada bekas Polis untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan juga negara.

“Selain itu, saya juga turut menyeru agar peranan PBPM dapat diketengahkan sebagai perantara antara Polis Diraja Malaysia(PDRM) dengan masyarakat dan menjadi jambatan penghubung antara polis dan komuniti setempat.

“Ilmu dan pengalaman seperti langkah-langkah pencegahan jenayah yang ada pada ahli-ahli PBPM sekiranya diterapkan di kampung-kampung dan taman perumahan pasti akan dapat membantu membentuk persekitaran kejiranan yang lebih selamat.” katanya.

Sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas pengorbanan serta jasa bakti bekas Polis di daerah Nabawan Arthur turut meluluskan sumbangan sebanyak RM10,000 sebagai suntikan dana tambahan kepada PBPM Cawangan Nabawan.

PBPM Cawangan Nabawan, telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan mempunyai lebih kurang 320 orang ahli di sekitar daerah ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *