HomeIsu tempatanKYS laksana rebat khas 25 peratus, bantu peminjam lunaskan baki pinjaman

KYS laksana rebat khas 25 peratus, bantu peminjam lunaskan baki pinjaman

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) melaksanakan Program Rebat Khas 25 peratus bagi membantu peminjam melunaskan baki pinjaman pengajian secara sekaligus.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, berkata, program itu merupakan satu insentif daripada KYS kepada para peminjam.

“Sebelum ini, rebat 25 peratus hanya diberikan kepada para peminjam pengajian yang ingin memendekkan tempoh bayaran sekurang-kurangnya sebanyak 75 peratus daripada tempoh pembayaran balik yang ditetapkan.

“Kini melalui program rebat khas 25 peratus ini, para peminjam tanpa mengira tempoh pembayaran yang dipendekkan, layak mendapat rebat sebanyak 25 peratus berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gulamhaidar berkata, program itu akan dilaksanakan selama tiga bulan berkuat kuasa dari 1 April lalu sehingga 30 Jun depan dan sehingga kini sambutan yang diterima adalah menggalakkan.

Katanya, peminjam yang berminat mestilah menandatangani surat akuan penerimaan rebat yang disediakan.

“Untuk tujuan itu juga, KYS turut mempelbagaikan kemudahan pembayaran demi mempermudah para peminjam membuat pembayaran.

“Sepanjang program ini, para peminjam dapat melakukan pembayaran melalui pembayaran dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital antaranya melalui aplikasi Maybank2u untuk pelanggan Maybank di samping perpindahan menggunakan telegraf dan JomPAY untuk pelanggan bank lain.

Katanya, sebagai alternatif, pihaknya juga menerima pembayaran yang dibuat melalui Arahan Tetap Bank, draf bank dan cek.

“Peminjam juga boleh mengunjungi kaunter pembayaran kami yang terletak di Aras enam, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, atau Pejabat-pejabat Zon kami.

“Dengan lebih banyak kutipan pembayaran pinjaman pengajian KYS, kami berharap akan dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membolehkan KYS terus menyokong di samping memberikan tajaan pendidikan untuk pelajar pada masa akan datang,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Program Rebat Khas 25 peratus ini, orang ramai boleh melayari laman web KYS di http://www.yayasansabahgroup.org.my, melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, menghubungi 088-326300 (samb – 1716, 1242 & 1246) atau emel kepada [email protected].

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

RM23,000 wang tunai menanti pemenang CLAS -15 RTM Sabah Sabtu ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya