Sabah harap semangat benih mampu hidupkan benih asli

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri berharap pelaksanaan program kebangkitan semangat benih atau ‘Manampasi Sunduan Linsou’ akan dapat menghidupkan semula mana-mana benih asli dalam bentuk biji benih, keratan atau anak pokok.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, benih merupakan asas kehidupan suatu tumbuhan atau tanaman dan masyarakat tidak akan mampu bercucuk tanam selain menuai hasil tanaman yang diinginkan.

“Dalam kerancakan pembangunan varieti-varieti baharu, para pakar tanaman ‘plant breeders’ di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan super variety termasuklah ‘genetically modified organisms’ (GMO).

“Dalam masa yang sama tanaman asli lain yang ada di sekitar tidak lagi diperhatikan sedangkan tumbuhan ini mempunyai kegunaan dan kepentingan dalam masyarakat setempat sejak zaman berzaman dan mungkin sebahagiannya sudah diancam kepupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kebangkitan Semangat Benih sempena Hari Biodiversiti Sedunia 2022 di perkarangan Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, pemilihan tujuh jenis pokok setiap daerah menggambarkan komitmen komuniti tempatan berdasarkan tujuh semangat roh  disatukan.

“Ini juga adalah bertepatan dengan perayaan Pesta Kaamatan dimana  upacara penghormatan semangat padi atau ‘Bambarayon’ menggunakan tujuh pecahan semangat yang tersimpan dalam rumpun (‘son-guas’), batang (‘som-puun’), tangkai (‘son-rawo’), cabang tangkai (‘son-giih’), buah (‘son-watu/wawar’), buah yang dipatah dua (‘som-putul’) dan buah hancur (‘som-bilod’).

“Tujuh roh/ semangat merangkumi roh minda (‘posorou’), roh mata (‘pongito’), roh telinga (‘porongou’), roh hidung (‘poningud’), roh lidah (‘ponuharing’), roh kulit (‘popurimon’) dan roh kaki (‘papanau’),” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, biji-benih, keratan ataupun anak pokok yang dikutip dan dikumpulkan daripada daerah-daerah akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Sabah sebagai ‘the next custodian’.

Katanya, Jabatan Pertanian Sabah akan memulihara dan membangunkan tanaman ini agar tidak pupus serta mampu dikembangkan bagi kegunaan generasi akan datang.

“Saya memilih Jabatan Pertanian Sabah sebagai ‘the next custodian’ berdasarkan kepada fungsi dan kepakaran mereka.

“Saya berharap agar program ini tidak hanya terhenti di sini kerana saya percaya bahawa masih banyak tanaman atau  tumbuhan asli di kampung-kampung mahupun di hutan sana yang masih belum diexploitasi dari segi potensi kegunaannya.

“Selain itu, saya juga berharap agar semua benih yang diambil daripada habitat asalnya ini direkodkan dan dikongsikan kepada Pusat Biodiversiti Sabah supaya kita mempunyai data yang boleh dirujuk pada bila-bila masa dan pada masa mendatang,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *