HomeUtamaPesta Memancing UMS-Sepanggar hidupkan semula ekonomi nelayan Bangka-Bangka

Pesta Memancing UMS-Sepanggar hidupkan semula ekonomi nelayan Bangka-Bangka

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula aktiviti memancing sekali gus merancakkan ekonomi komuniti nelayan di Kampung Bangka-Bangka.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya menyokong penuh penganjuran program berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta komuniti nelayan tempatan.

Jamawi (tengah) bergambar bersama dengan peserta yang hadir.

“Pagi ini kita melancarkan pertandingan memancing bersama UMS dan komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka. Di peringkat kementerian, kita menyokong usaha ini untuk menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan ini.

“Ini baru permulaan. Kita merancang pada masa akan datang untuk menggunakan bot-bot nelayan di kampung ini supaya peserta dapat turun ke lokasi memancing yang lebih sesuai, dan pada masa sama nelayan memperoleh pendapatan tambahan,” katanya ketika berucap melancarkan program itu, di sini, hari ini.

Menurut Jamawi, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan UMS serta Persatuan Nelayan Kampung Bangka-Bangka bagi memastikan aktiviti memancing dan perikanan di kawasan berkenaan dapat disuburkan semula secara berterusan.

Beliau berkata, pertandingan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan, malah turut membantu kebajikan mahasiswa menerusi sumbangan kepada program dapur siswa.

“Melalui pertandingan ini sahaja, kita menyumbangkan kira-kira RM10,000 kepada program dapur siswa, khususnya bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila kira-kira 300 peserta mengambil bahagian, melebihi sasaran awal seramai 200 peserta.

Katanya, peserta datang dari pelbagai kawasan termasuk Brunei, Labuan dan pedalaman Sabah, malah ada dalam kalangan peserta warga emas berusia lebih 60 tahun yang turut menyertai pertandingan berkenaan kerana minat mendalam terhadap aktiviti memancing.

Jamawi turut menjelaskan kawasan perairan berkenaan sebelum ini terkenal sebagai lokasi memancing berpotensi tinggi, namun aktivitinya terhenti sejak pandemik COVID-19.

“Kawasan ini memang terkenal dengan ikan bersaiz besar kerana sebelum ini Jabatan Perikanan telah melepaskan tukun-tukun, menjadikannya kawasan pemuliharaan ikan yang sesuai untuk aktiviti memancing.

“Ada peserta memaklumkan mereka pernah memperoleh ikan merah dan ikan putih seberat antara empat hingga lima kilogram di kawasan ini, yang kebiasaannya hanya diperoleh melalui aktiviti memancing laut dalam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha menghidupkan semula aktiviti memancing di kawasan berkenaan dapat diteruskan sekali gus memperkukuh sektor perikanan dan pelancongan rekreasi di Sabah.

Turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Rizal Zamani Idris; Pensyarah Kanan Institut Marin Borneo UMS, Chong Wei Sheng; serta Penyelaras Program yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sabah News Today, Zakaria Damit.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat bersedia hadapi PRU selaras pindaan perlembagaan – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular