HomeUtamaSiswa, siswi diseru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan digital

Siswa, siswi diseru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan digital

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Para siswa dan siswi yang masih meneruskan pengajian diseru untuk mencuba berjinak-jinak dalam dunia perniagaan digital bermula dari sekarang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, mereka (siswa siswi) boleh dapatkan tunjuk ajar dan bimbingan percuma daripada para pensyarah dan Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) untuk memajukan perniagaan anda di dalam kampus, walaupun ianya hanya secara maya, iaitu dalam talian (online).

“Saya yakin para tenaga pengajar akan sentiasa bersedia untuk membimbing anda menjadi usahawan berjaya di dalam kampus.

“Jika anda bernasib baik, perniagaan anda boleh lebih maju dan stabil sebelum anda menamatkan pengajian nanti. Justeru itu, pengalaman berniaga semasa dalam pengajian boleh menjadikan anda lebih yakin menjalankan perniagaan sebaik tamat pengajian kelak

“Ketiadaan modal bukan alasan untuk tidak boleh menceburkan diri dalam dunia perniagaan kerana mereka boleh bermula dahulu dengan perniagaan berbentuk dropship dan affiliate, dan boleh meminta bantuan pensyarah atau PKPKP untuk khidmat nasihat memulakan perniagaan,” katanya semasa merasmikan pelancaran Program Asas Pembudayaan Keusahawanan Virtual Expo (APKVE) Kali Ke-3 Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, umum mengetahui bahawa UMS amat komited dalam mendukung hasrat Kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing pada masa depan.

“Manakala di peringkat negeri Sabah pula, Kementerian Pembangunan Perindustrian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah ditugaskan untuk pembangunan keusahawanan di negeri Sabah.

“Pihak Kerajaan Negeri khususnya melalui Kementerian saya, menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu usahawan berkembang dan maju dalam perniagaan.

“Kita perlukan lebih ramai usahawan muda di negeri Sabah, yang menyediakan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama membantu merancakkan ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Menurut beliau, kemahiran perniagaan digital yang dipelajari melalui kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan beserta dengan praktikal perniagaan yang dilaksanakan pasti akan memberi pengalaman dan bekalan ilmu yang berguna.

Katanya, di era digital ini, tidak ada alasan bagi pelajar untuk tidak boleh berniaga, kerana pasaran digital yang luas membolehkan mereka berniaga di pasaran tanpa sempadan.

“Saya pasti bimbingan para pensyarah yang berpengalaman dapat membantu para siswa dan siswi menjalankan perniagaan atas talian dengan baik.

“Jadi, terserah pada anda selepas ini sama ada mahu menjadi pencari kerja (job seeker) yang sangat mencabar di luar sana, ataupun menjadi pencipta pekerjaan (job creator) dengan menjadi usahawan yang berpendidikan tinggi.

“Justeru, saya amat berharap bahawa kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan ini dapat diaplikasikan oleh para pelajar sekalian untuk menjadi seorang usahawan berpendidikan tinggi suatu masa kelak,” ujarnya.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Professor Datuk Chemist Technologist Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Raman Noordin; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng; Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar, Dr. Soon Singh A/L Bikar Singh; Penyelaras Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program APK Virtual Expo ke-3 Dr Kelvin Yong serta para pensyarah UMS.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular