PENAMPANG: Aktiviti sukan tradisi antara acara rasmi yang dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan selain beberapa persembahan kesenian, pameran dan Unduk Ngadau.
Tahun ini, sukan tradisi seperti tarik tali (migazat dukug) dan gusti lengan (mipulos) diadakan secara fizikal dan terbuka bagi penggemarnya.
Manakala sukan seperti melastik (momolositik), menjerat kerbau (monungkava kalabau), membujak (manandus), menyumpit (monopuk), memproses padi (tumutu), menyalakan api (mopiri) hanya sebagai persembahan.
Sukan Tradisi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bagi Tahun 2022 telah diadakan di Pentas Terbuka Hongkod Koisaan KDCA, Sabtu lalu dan dirasmikan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Mansur Asun.
Meskipun dianjurkan dalam norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat namun acara itu berlangsung dengan lancar dan berjaya
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengerusi Lembaga Sukan (LSS), Osman Aganduk, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah (LSS), Terrance Pudin dan Ahli-Ahli Lembaga LSS.