HomeUtamaKM mahu MPPS dijadikan acara tahunan bagi mendengar suara anak muda

KM mahu MPPS dijadikan acara tahunan bagi mendengar suara anak muda

Read Time:3 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) akan diinstitusikan sebagai acara tahunan bagi mendengar suara daripada rakyat khususnya golongan muda dan mereka yang masih belajar.

Katanya, selain itu, semua usul yang dibentangkan dalam MPPS perlu didokumentasikan secara rasmi dalam bentuk Nota Kabinet dan akan dibentangkan untuk makluman jemaah menteri, seterusnya diteliti oleh setiap kementerian dan agensi berkaitan.

“Selepas mendengar segala usul menerusi majlis yang pertama kali diadakan ini, saya mahu MPPS dijadikan sebagai acara tahunan. Saya mahu mendengar cadangan dan pandangan daripada anak-anak muda terutama mereka yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mendengar sesi pembentangan peserta sempena Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mendengar sesi pembentangan peserta sempena Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam tadi.-Foto ihsan JKM
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama sebahagian peserta selepas merasmikan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama sebahagian peserta selepas merasmikan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam tadi.

“Saya juga mengambil perhatian serius setiap usul atau cadangan yang dibentangkan oleh anak-anak muda kita dan kita akan teliti secara terperinci untuk dimasukkan dalam perancangan kerajaan. Mana yang perlu dilaksanakan, akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Banyak cadangan atau usul daripada tujuh kluster yang dibentangkan dalam MPPS amat releven dengan pembangunan negeri dan belia di Sabah. Terima kasih kepada semua pelajar yang memberi pandangan yang bernas demi pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya ketika merasmikan MPPS di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam tadi.

Persidangan MPPS itu diumumkan Ketua Menteri dalam satu majlis berbuka puasa bersama pelajar Sabah di Semenanjung, pada April lalu. MPPS yang akan diinstitusikan sebagai acara tahunan akan dipengerusikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas.

MPPS adalah inisiatif bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dan Majlis Belia Sabah (MBS). Lebih 80 pemimpin pelajar daripada 60 institusi pendidikan di seluruh negara menghadiri MPPS, termasuk pemimpin pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Lebih 10 usul atau cadangan yang dibentangkan daripada tujuh kluster dalam MPPS iaitu Kluster Belia dan Sukan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Kepimpinan dan Modal Insan; Ekonomi Anak Muda dan Perniagaan; Pendidikan dan Kerjaya; Alam Sekitar dan Kelestarian Hijau; dan Pertanian dan Pelancongan.

Hajiji berkata, penganjuran MPPS adalah bertepatan dengan salah satu teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu agenda pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Kerajaan negeri amat komited untuk memperkasa modal insan di negeri ini melalui pelaksanaan dan perancangan pelbagai program dan inisiatif bagi mengangkat aspirasi anak muda Sabah.

“Selain MPPS, pelbagai inisiatif lain telah dan sedang digerakkan. Antara inisiatif baharu yang dilaksanakan bermula tahun ini ialah Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke IPT.

“Kerajaan negeri turut menubuhkan Sekretariat Khas Pelajar Sabah, bertujuan memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Melalui sekretariat khas ini juga, isu-isu berkaitan pelajar Sabah akan dibincangkan dan dibawa ke pengetahuan pihak kerajaan untuk tindakan susulan,” katanya.

Sambil menegaskan mahu modal insan yang mempunyai ilmu dan kemahiran, beliau berkata ia penting agar mereka boleh bersama-sama membangunkan negeri ini.

“Selepas mendengar segala pandangan daripada pelajar kita dalam MPPS ini, sebenarnya kita mempunyai anak-anak muda yang berpotensi. Sebab itu, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang.

“Kita mahu bawa masuk pelabur ke Sabah supaya kita dapat wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini. Kita tidak mahu lepasan universiti berhijrah ke Semenanjung kerana tiada peluang pekerjaan di sini,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah IKRAR Sabah, Azrul Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya