HomeUtamaKePKAS buka peluang lebih besar cipta potensi pelancongan negara timur tengah

KePKAS buka peluang lebih besar cipta potensi pelancongan negara timur tengah

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dijangka akan membuka peluang yang lebih besar dalam bidang pelancongan antara negeri Sabah dan Arab Saudi serta negara-negara Timur Tengah.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama serta saling menyokong pembangunan dan promosi industri pelancongan serta kebudayaan yang mampan, kompetitif dan inklusif.

“Sudah tiba masanya Sabah melihat potensi pelancongan khususnya di negara Timur Tengah seterusnya mempelbagaikan pakej-pakej menarik bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan untuk kepentingan bersama.

“Ekoran daripada  polisi ‘Sifar COVID-19’ China yang menghadkan perjalanan rakyatnya ke luar negara, pemain industri pelancongan kini perlu meneroka pasaran serantau lain dan tidak hanya bergantung kepada pasaran china semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan ASEAN Travel Saudi Arabia, Fahad Alotaibi di Wisma Tun Fuad Stephen di sini hari ini.

Jafry berkata, semua pihak perlu mencari alternatif baru iaitu fokus kepada pasaran lain yang sudah membuka pintu sempadan, termasuklah Arab Saudi, dan Sabah amat positif tentang impaknya.

Katanya, beberapa perkara yang kini sedang diteliti termasuk usaha untuk menarik syarikat penerbangan asing untuk melakukan penerbangan terus daripada Arab Saudi ke Kota Kinabalu.

“Ini bagi memudahkan pelancong daripada negara itu untuk datang ke Sabah tanpa perlu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dalam masa sama, kementerian juga berhasrat untuk membawa pengusaha restoran berkonsepkan makanan Arab dan timur tengah ke negeri ini agar pelancong mudah mendapatkan makanan yang sesuai dengan citarasa mereka,” katanya.

Jafry turut mencadangkan kepada semua pemain industri pelancongan agar mencuba insiatif baru dalam mewujudkan Pelancongan Mesra Muslim (MFT).

“Saya yakin dengan kelebihan yang dimiliki oleh negeri kita, iaitu kaya dengan keindahan alam semula jadi, pastinya pelancongan mesra Muslim akan menjadi ‘game changer’ dalam industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Beliau berharap usaha dan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi pelancongan akan berjaya dimanifestasikan sekaligus menjadikan negeri Sabah sebagai pilihan utama destinasi pelancong dari seluruh dunia.

Untuk rekod, Malaysia tersenarai dalam lima negara terbaik bagi destinasi pelancongan mesra Muslim selain Turki, Arab Saudi, UAE dan Iran.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular