KPDNHEP pastikan agenda digitalisasi jadi objektif utama sektor peruncitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan perancangan tersusun dalam memastikan agenda digitalisasi menjadi objektif utama sektor peruncitan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada keperluan peniaga di peringkat mikro dan kecil agar dapat menerima serta mengguna pakai kaedah e-wallet.

“Pendekatan secara tanpa tunai merupakan wadah utama yang memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil khususnya ketika berdepan situasi pandemic pada masa ini yang menggalakkan transaksi tanpa tunai.

“Sehubungan itu, pihak kementerian telah melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang bertujuan bagi memastikan peniaga kecil tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program ReDI peringkat negeri Sabah dan Program Jualan Malaysia (PJM) Rancak Pesta Kaamatan di Sejati Walk di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Alexander berkata, pihaknya berharap dengan kolaborasi strategik bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan KPDNHEP Negeri akan dapat mensasarkan 100 peniaga (setiap PBT) akan menyertai ReDI menjelang akhir 2025.

“Justeru dengan pelaksanaan ReDI di Sandakan hari ini akan dapat memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan negara,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan sumbangan sektor peruncitan dipacu secara positif dan bergerak dinamik seiring dengan keperluan rakyat di dalam memastikan ekonomi negara kembali kukuh.

Katanya, sumbangan sektor peruncitan ini adalah sangat signifikan kepada pemulihan ekonomi negara.

“Sehubungan dengan itu, KPDNHEP bersama Kerajaan Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bekerjasama mengadakan PJM Rancak Pesta Kaamatan dalam memastikan rakyat dapat berbelanja dengan jualan murah sepanjang tahun 2022.

“Ianya akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga 28 mei dengan penglibatan seluruh peniaga di Sejati Walk dan penambahan 40 booth yang disediakan dalam memeriahkan lagi sambutan perayaan ini,” katanya.

PJM ini secara langsung menyokong usaha pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan oleh KPDNHEP di bawah sektor perdagangan pengedaran termasuklah sektor peruncitan dengan berteraskan konsep 3R iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan) yang dijangka dapat menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 billion menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, bagi menyokong pelaksanaan ReDI dan PJM, pihaknya bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM38,500 bagi melaksanakan program insentif baru kepada peniaga dan pengguna secara tanpa tunai di Sandakan.

“Diharap dengan sumbangan itu akan dapat memberi galakan kepada peniaga dan pengguna untuk menggunakan medium arus perkembangan teknologi semasa.

“Disamping akan melonjakkan lagi penggunaan e-wallet termasuk memberi impak secara terus kepada penerima manfaat yang telah dikenalpasti,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *