PENAMPANG : Sambutan perayaan Pesta Kaamatan tahun ini kembali disambut meriah apabila dibenarkan diadakan secara bersemuka selepas dua tahun ‘terhenti’ berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini.
Tinjauan Sabah Media di sekitar perkarangan Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) pagi tadi mendapati lokasi utama perayaan itu turut kembali melakar sejarah dengan kehadiran pengunjung yang terus membanjiri dewan berkenaan.
Malah Pesta Kaamatan kali ini juga turut dihadiri pelancong luar negara yang hadir untuk menyaksikan sendiri kemeriahan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah dengan acara kemuncak pemahkotaan Unduk Ngadau pada hari esok.
Dengan tema Kaamatan menjiwai alam semulajadi, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti tarian tradisional masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) serta penampilan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) yang mewakili daerah masing-masing dan pertunjukan tarian etnik di rumah kebudayaan KDCA.
Antara pengunjung dan pelancong yang ditemui amat mengagumi budaya dan tradisi serta kebersamaan pelbagai masyarakat Sabah dalam bersama- sama meraikan Pesta Kaamatan.
Bagi pelancong Denmark, Ole Olesen berkata, kehadirannya ke dewan berkenaan adalah antara lain untuk memberi sokongan kepada anak muridnya yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian.
“Sementara pertandingan itu belum bermula, saya mengambil peluang untuk meninjau persekitaran rumah kebudayaan yang ada di sini. Ternyata kebudayaan yang dipaparkan di sini sangat menarik.
“Dalam erti kata lain, saya sangat suka melihat suasana ini, sangat suka melihat baju kebudayaan etnik Sabah, persembahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini,” katanya.
Bagi Raymond Wong yang datang dari daerah Tambunan mengakui telah berkunjung ke KDCA lebih awal bagi menyaksikan pertandingan Sugandoi yang diadakan beberapa hari lalu.
“Setiap kali Kaamatan saya akan datang ke sini bersama keluarga. Selepas pandemik dua tahun, saya melihat kehadiran pengunjung amat baik dan sudah pasti semuanya gembiranya untuk bersama meraikan Kaamatan,” katanya.
Sementara itu, bagi pengunjung yang datang dari Sandakan, Laura Supidi berkata, beliau suka untuk hadir ke sambutan berkenaan kerana keunikan yang dipaparkan khususnya baju tradisi.
“Selain baju tradisi kita juga dapat melihat tarian tradisional dengan pelbagai bangsa. Saya sangat gembira sebab dua tahun kita PKP dan tahun ini kita merayakan secara terbuka,” katanya.