PENAMPANG: Kemuncak Pertandingan Unduk Ngadau hari ini berakhir apabila Frenerietta Sobitun yang mewakili daerah Sandakan berjaya dinobatkan sebagai ratu Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) itu turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Frenerietta berjaya meraih tempat pertama selepas menewaskan 43 peserta lain diperingkat akhir dan telah dimahkotakan oleh juara Unduk Ngadau 2021 Maya Hejnowska seterusnya berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM120,000 termasuk wang tunai berjumlah RM12,000.
Naib johan Unduk Ngadau berjaya dimenangi oleh Esther Marius yang mewakili daerah Papar manakala tempat ketiga dimenangi oleh Deedee Cassandra Dallius yang mewakili daerah Ranau.
Esther berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM75,319 termasuk wang tunai berjumlah RM10,000.
Pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah keseluruhan bernilai RM62,779 termasuk wang tunai sebanyak RM8,000.
Sementara itu, pemenang bagi tempat keempat dimenangi Carolyn Tony (Penampang); kelima dimenangi Allveanna Loimin (Kiulu); Evanatie Sannie – Kota Marudu (Keeenam) dan ketujuh dimenangi Sylvernie Belinda Engelbert (Inanam).
Hadiah turut disampaikan oleh Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Datin Seri Juliah Salag.