hanya 6% ayam tempatan untuk eksport

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR: Hanya 6% pengeluaran ayam di negara ini dieksport, kata pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, hari ini, sambil menolak dakwaan Malaysia sedang berdepan krisis bekalan makanan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian itu, Badrul Hisham Mohd, berkata 94% pengeluaran ayam di negara ini atau membabitkan kira-kira 54 juta ekor sebulan untuk bekalan tempatan.

Kapasiti pengeluaran tempatan mampu memenuhi keperluan domestik, katanya dalam panel perbincangan disiarkan Bernama TV.

Katanya, tahap bekalan makanan di negara ini belum mencapai paras krisis seperti didakwa sesetengah pihak kerana bekalan masih mencukupi.

Beliau berkata, berlaku “sedikit gangguan” terhadap bekalan makanan, terutama ayam dan gandum, namun ia tidak menjejaskan bekalan domestik.

Katanya, hampir 72% kos keseluruhan penternakan ayam dibelanjakan bagi membeli makanan ternakan, yang mana diimport daripada negara seperti Brazil dan Argentina.

“Jagung bijian digunakan bagi bekalan ternakan ayam domestik tidak lagi ditanam di Malaysia dalam skala besar-besaran; susulan itu, pihak kementerian beralih mengindustrikan industri jagung bijian bagi menyelesaikan masalah import bahan makanan,” katanya.

Badrul Hisham juga mencadangkan pengeluar minyak sawit memperuntukan sedikit kawasan dalam kawasan penanaman milik mereka untuk penanaman jagung bijian sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap negara lain bagi jagung bijian susulan makanan ayam semakin mahal.

Mengulas berhubung isu gandum, beliau berkata, keputusan India menghalang eksport gandumnya tidak memberi kesan kepada Malaysia memandangkan sumber utama bagi komoditi itu dibekalkan negara seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Katanya, India mengeksport gamdumnya hanya kira-kira 1.9% sahaja ke negara ini dengan kementerian termasuk kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, melakukan usaha menyelesaikan isu bekalan demi memastikan rakyat mempunyai cukup bekalan makanan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *