Kolej AMC lancar biasiswa bantu anak Sabah penuhi impian pendidikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Kolej AMC berjaya melancarkan biasiswa 100 peratus Datuk Chu Kok Keng sempena sambutan Ulang Tahun ke-37 kolej berkenaan.

Ketua Eksekutif Kolej AMC Encik Bryan Lo Ching Wing berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf akademik dengannya layak untuk memohon biasiswa berkenaan dengan kelulusan minima tiga kepujian dalam SPM.

Katanya, biasiswa yang ditawarkan pada masa terhad itu mampu membantu anak-anak Sabah yang bakal menerima keputusan SPM pada 10 Jun depan seterusnya memenuhi impian pendidikan mereka khususnya di Kolej AMC.

“Bagi pihak pengurusan kolej, kita menggalakkan semua pelajar lepasan SPM serta UEC, O-Level atau kelayakan akademik yang setaraf dengannya supaya tidak melepaskan peluang keemasan bagi memohon biasiswa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesten keempat Kolej AMC dan pengiktirafan kelas tamat pengajian 2019 hingga 2021 bagi City Skill Training Centre (CSTC) yang di adakan di sini baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu merupakan yang pertama diadakan bagi meraikan graduan selepas sekatan pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

Seramai 87 graduan dari Kolej AMC dan 69 graduan dari Pusat kemahiran CSTC diraikan pada majlis itu.

Graduan dari Kolej AMC terdiri daripada pelajart Sijil Perniagaan, Sijil Teknologi, Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Perniagaan, Diploma Rangkaian Komputer, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Teknologi Maklumat dan Diploma Pemasaran.

Manakala 69 graduan dari Pusat Kemahiran CTSC pula terdiri daripada pelajar Operasi Pembinaan Jalan (Tahap 2) dan Penyelia Awam dan  Struktur (Tahap 3).

Bryan Lo turut merakamkan penghargaan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian.

Katanya, majlis itu merupakan lambang kejayaan graduan dan ia bukanlah titik akhir perjuangan atau pembelajaran malah ia akan menjadikan graduan terus berusaha dan berjuang demi memajukan diri, masyarakat dan negara tercinta.

“Kolej AMC tidak pernah terhenti dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pendidikannya dan terus berusaha dan mencapai penarafan MyQuest pada 4 bintang dan ke atas.

“Sejak 37 tahun lalu, institusi ini komited untuk menyediakan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti kepada pelajar dan meneruskan misi ini untuk memainkan peranan membantu membangunkan modal insan bagi negeri Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Ia juga sebagai perangsang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang yang akan diceburi. Oleh itu, perjalanan baru sahaja bermula,” katanya.

Kolej AMC telah dianugerahkan 4-Bintang untuk MyQuest 2018/2019 (Sistem Penilaian Kualiti Malaysia untuk Kolej Swasta) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Penilaian ini dimulakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia dan institusi ini juga mendapat pengiktirafan daripada institusi pendidikan tinggi dan profesional terkemuka antarabangsa untuk bekerjasama dengan kolej berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *