HomeUtamaMRS bela hak-hak penggiat seni tempatan Sabah

MRS bela hak-hak penggiat seni tempatan Sabah

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Badan pelesenan Music Rights Sabah Berhad (MRS) yang diiktiraf kerajaan pada awal tahun ini akan dapat memberi pembelaan sewajarnya kepada hak penggiat seni tempatan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya berharap agar pengiat seni di negeri ini akan terus berkarya dengan baik dalam bidang muzik mahu pun sebagai penyanyi.

“Penubuhan MRS pada Januari lalu dilihat tepat pada masanya untuk memberi pembelaan sewajarnya kepada artis-artis tempatan Sabah.

“MRS juga secara rasmi menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam industri muzik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Riuh Bah! Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Mohammad Mentek dan Pengerusi MyCreative Venture Sdn Bhd, Noor Azmi Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis merangkap Rakan Strategik Utama RIUH BAH! bersama Hotlink, Gokhan Ogut.

Hajiji berkata, badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik, pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini.

Katanya, dengan adanya badan itu ianya akan dapat menggalakkan penggiat seni tempatan terus berkarya dan memartabatkan industri muzik tempatan di negeri ini.

“Tiada istilah lambat dalam hal ini (mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah baik penyanyi atau pun pemuzik) kerana kita sentiasa bergerak ke hadapan dan mencari kaedah terbaik untuk melindungi mereka,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, program selama tiga hari itu pasti akan menjadi medan untuk merancakkan lagi industri kreatif di Sabah sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar persatuan dari pelbagai etnik di Sabah terus memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut dengan kepesatan arus globalisasi.

“Hal ini penting agar kepelbagaian budaya di negeri ini terus diperkukuh dan tidak dipinggirkan oleh kemodenan dan kemajuan teknologi.

“Kita tidak boleh biarkan mana-mana etnik itu pupus begitu sahaja tanpa mengetahui kewujudannya.

“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang masih belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berharap agar program Program Riuh Bah! Bersama Hotlink akan dapat membantu mempromosikan seni kreatif tempatan yang ada di Sabah untuk diangkat hingga ke peringkat antarabangsa.

“Semoga insiatif kerajaan ini akan dapat merancakkan kembali aktiviti ekonomi berkaitan industri kreatif, khususnya di Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular