Sabah harap JENDELA fasa dua bantu capai tahap kesinambungan Internet 100 peratus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah berharap perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi fasa kedua akan dapat membantu negeri ini mencapai tahap kesinambungan Internet 100 peratus pada penghujung 2023.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ianya menerusi pertambahan 700 hingga 750 menara baru, pemasangan VSAT di 300 kawasan terpencil dan peluasan projek Point of Presence (PoP) di semua kawasan sekolah yang tiada liputan.

Katanya, Kerajaan Sabah turut berharap agar satu kabel dasar laut (Submarine Cable) dapat dipertimbangkan bagi memastikan kesalinghubungan yang mantap, konsisten dan berdaya saing.

“Jalinan kerjasama Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyasarkan beberapa projek utama dalam peningkatan infrastruktur komunikasi digital di Sabah.

“Ia termasuklah pembinaan 607 menara baru, naik taraf 3,738 pemancar, sambungan gentian optik ke 448,456 premis-premis serta pembinaan 138 BWA (Broadband Wireless Access) menggunakan VSAT dan penubuhan 115 PEDI.

“Alhamdulillah, kita menyaksikan peningkatan drastik pembangunan infra digital di Sabah. Sehingga kini 319,998 premis telah disambung gentian optik dimana sebelum JENDELA pada Ogos 2020,sebanyak 197,291 premis disambung gentian optik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) yang pertama tahun 2022 di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Yakub berkata, sebanyak 3,128 daripada 3,738 pemancar telah dinaik taraf manakala semua 138 BWA telah disiapkan selain 115 daripada 118 PEDI juga telah disiapkan.

Katanya, liputan 4G juga telah meningkat daripada 73.4 peratus kepada 86.9 peratus setakat ini dan seterusnya ke tahap 90 peratus pada akhir tahun nanti.

“Umum mengetahui bahawa negeri Sabah yang kita cintai ini secara amnya mempunyai ramai bakat-bakat  kreatif yang dapat kita manfaatkan demi kebaikan negeri kita dan ini tidak kiralah daripada golongan orang muda mahupun yang sudah berumur.

“Namun, jika minat dan bakat mereka ini tidak dipupuk dan tidak diberikan platform yang sesuai untuk mengetengahkan apa yang mereka ada, kita akan kehilangan kebolehan mereka ini kepada negara luar.

“Oleh itu, kerjasama korporat, agensi kerajaan, pusat pengajian dan komuniti adalah sangat diperlukan bagi membawa bakat-bakat yang ada ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *