Ibu bapa dan guru berperanan semai rasa cinta kepada bahasa ibunda

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

TAMPARULI: Tenaga pengajar khususnya guru-guru di sekolah turut berperanan penting dalam membantu untuk menanam rasa cinta kepada bahasa ibunda dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan utama menjadi sebagai guru pertama yang mengajar anak-anak kepada bahasa ibunda dalam kehidupan harian.

“Ajaran ibu bapa adalah ucapan pertama yang didengar dan difahami dalam keluarga, senang diingati oleh anak-anak, manakala sekolah menyambung peranannya menerusi aktiviti berbentuk kebudayaan dan mempelajari subjek ibunda seperti mata pelajaran Kadazan Dusun di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli, di Dewan Terbuka OKK Bayang SKPT di sini semalam.

Hadir sama, Guru Besar SK Pekan Tamparuli, Jasnie Omar dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Jahid berkata, pembudayaan aktiviti melibatkan bahasa Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di sekolah setiap kali menjelang Kaamatan sangat bertepatan dengan usaha untuk mengangkat bahasa ibunda agar tidak lenyap ditelan zaman.

Beliau turut memuji usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti berbentuk kebudayaan yang menggunakan bahasa ibunda sebagai pengisian program berkenaan.

Dalam pada itu, Jahid berkata, hubungan baik pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan sekolah perlu diteruskan agar setiap perkara yang dirancang demi kebaikan pihak sekolah akan dapat dilaksanakan.

Terdahulu, Yang Dipertua PIBG SK Pekan Tamparuli, Dohimbang Bongkihoi, menghargai sumbangan bantuan peruntukan yang telah disalurkan oleh Jahid kepada sekolah tersebut selama ini.

Beliau turut menyampaikan beberapa perkara yang dilihat menjadi keperluan utama di sekolah tersebut, untuk diambil perhatian oleh pihak kerajaan.

Sebelum itu, Jahid turut merasmikan bilik guru dan tempat letak kereta berbumbung sekolah itu yang disumbangkannya kepada pihak sekolah.

Antara aktiviti lain yang diadakan adalah seperti persembahan Koir, Sugandoi, Unduk Ngadau Toporodot, pertandingan Manangon, masakan tradisi, mongingia avantang, dan mongingia awanus.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *