MATUNGGONG: 24 keluarga bakal memiliki ruang kediaman sendiri apabila rumah panjang ke-29 siap dibina di Kampung Toporoi, di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, dua blok Rumah Panjang Toporoi dibina dengan reka bentuk moden termasuk tiga bilik tidur dan berserta tandas.
Katanya, ini merupakan dana terbesar yang diperuntukkan untuk pembinaan rumah panjang.
“Sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan untuk rumah panjang 24 pintu itu yang akan mula dibina tidak lama lagi dan dijangka siap April tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pecah tanah projek pembinaan rumah panjang itu di sini, semalam.
Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu itu menjelaskan selain rumah panjang, Projek Perumahan Termiskin (PPRT) juga dibina untuk keluarga berpendapatan rendah.
“Kita mempunyai 450 rumah PPRT di bawah Program Agropolitan di Gana, yang mana 100 buah rumah akan diserahkan kepada penerima dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.
Menurut Maximus, sebagai sebahagian daripada program pembasmian kemiskinan, penduduk tempatan di sini digalakkan mengambil bahagian dalam sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan.
“Selain menanam kelapa dan pertanian walit, pesawah bukit juga perlu mempertimbangkan penanaman jagung di antara musim, khususnya untuk makanan bijirin.
“Kedua-dua kementerian pertanian Persekutuan dan Negeri memberi tumpuan dalam menggesa petani kecil untuk mengambil bahagian dalam pengeluaran bijirin makanan haiwan memandangkan keperluan mendesak untuk produk itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa petani harus menghadiri seminar dan kursus untuk mendapatkan maklumat tentang kaedah pertanian terkini.