KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa bertindak proaktif bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pengajian tinggi serta pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarah JPPKK Ts Zainab Ahmad berkata, pihaknya juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pengajian berkualiti selain memenuhi permintaan industri bagi memastikan graduan sentiasa diterima baik di pasaran pekerjaan.
“Justeru itu, pencapaian jabatan dan institusi di bawahnya adalah hasil usaha gigih semua dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (2018-2025).
“Ia juga adalah seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025,” katanya ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu ke-26 di sini semalam.
Zainab berkata, Politeknik dan Kolej Komuniti mempunyai peranan penting dalam pembangunan modal insan negara.
Katanya, bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) tumpuan akan diberikan dalam usaha mengukuhkan teknologi pendigital demik penyediaan pasaran kerja masa hadapan.
Menurutnya selain itu ianya juga akan memperkasa lagi ekosistem keusahawanan berteraskan teknologi digital.
“Saya difahamkan kadar kebolehpasaran Politeknik Kota Kinabalu telah mencapai 89.8 peratus pada tahun lalu dan peratusan ini telah mencapai dan melebih KPI yang ditetapkan.
“Ini membuktikan bahawa Politeknik Kota Kinabalu telah berjaya melahirkan graduan berkemahiran tinggi seiring dengan keperluan industri masa kini,” katanya.
Beliau turut berharap agar Politeknik Kota Kinabalu akan terus melahirkan modal insan holistik dan dinamik demi merealisasikan hasrat negara dalam memacu peningkatan produktiviti serta pembangunan ekonomi Malaysia.
Pada majlis itu, seramai 785 graduan berjaya menamatkan pengajian yang terdiri daripada mereka yang telah tamat pengajian dalam Sesi Disember 2020.
Para graduan menerima sijil dan diploma masing-masing dalam pelbagai bidang iaitu Kejuruteraan awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Perdagangan dan bidang Pelancongan dan Hospitaliti.
Turut disampaikan adalah Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Peringkat. Diploma dan Sijil, Anugerah Khas Pertandingan, Anugerah Khas Latihan Industri dan Anugerah Pengarah yang dianugerahkan kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum secara menyeluruh.