Kes tuntutan tanah adat Mawasi selesai, terima kasih Ketua Menteri & Kerajaan GRS-BN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

RANAU: Kes tuntutan tanah adat penduduk Kampung Malinsau, Kg. Wayan dan Kg. Sinurai (Mawasi) di sini sejak lapan tahun lalu berakhir dengan kegembiraan, selepas kes tuntutan hak selesai dengan berpihak kepada penduduk kampung yang terlibat.

Kelmarin, Majlis Mawasi yang mewakili tiga kampung itu telah mengadakan majlis kesyukuran di Kg. Malinsau yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Pengerusi Majlis Mawasi, Maslah Rumpado, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah- Barisan Nasional (GRS-BN) kerana membantu mereka menyelesaikan isu tanah adat berkeluasan 2,400 ekar yang dihadapi mereka.

“Kami juga berterima kasih kepada Datuk Dr. Joachim selaku Wakil Rakyat kami kerana telah berusaha sehingga berjaya meyakinkan Kerajaan untuk memberi penyelesaian kepada kes Mawasi.

“Sokongan Datuk Dr. Joachim dari mula kepada Mawasi amatlah dihargai. Kita berharap agar Kerajaan sekarang terus prihatin terhadap keperluan orang asal dan mengiktiraf hak-hak mereka,” katanya.
 
Katanya, mereka juga bersyukur dengan sokongan yang diterima pengukuran di bawah program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) tetap diteruskan.

“Kami amat berharap agar semua geran tanah dapat dikeluarkan dengan kadar segera. Tanah adalah nyawa bagi penduduk kampung,” kata Maslah, sambil menambah, penduduk tiga kampung itu berharap agar Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau dapat memudah cara pengeluaran geran mereka.

Bagi pihak penduduk tiga kampung itu beliau juga berterima kepada semua organisasi dan inidividu lain yang telah membantu mereka dalam kes tuntutan itu.

Sementara itu, Dr. Joachim berkata, beliau berasa amat bersyukur kerana selepas Kerajaan GRS-BN mengambil alih pemerintahan, beliau secara peribadi telah berjumpa dengan Ketua Menteri dan memohon agar kes ini dikaji semula.

“Dalam pada itu, semua proses telah dipercepatkan dan kes ini telah diselesaikan di luar mahkamah melalui pertukaran tanah (land swap) dengan mencari tanah di seluruh negeri Sabah seperti Sandakan, Tawau dan di Kota Kinabalu.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan GRS-BN sekarang ini yang begitu prihatin dan bukan hanya cakap sahaja tetapi ia terbukti di mana tanah penduduk kampung dapat dikembalikan dan pada hari ini kita meraikan kejayaan Mawasi,” katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo; Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Louis Sinti; Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Jailix Amindang; Penolong Pegawai Daerah Ranau (Pembangunan), Hasinin Kimsin; wakil Pegawai Jabatan Pertanian Ranau, Nur Hafizatun dan Rukizah Sian; Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), Jaidi Adrian Gulis; Penolong Kanan Juru Ukur Bahagian Pantai Barat Utara Daerah Ranau, Ghani Sumpin; Pemaju Mukim Ulu Sugut, Ratimin Kukunot, para Pemegang Adat serta penduduk kampung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *