SCENIC, TAME bekerjasama laksana program pemuliharaan marin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Pusat Ekosistem Marin Tanjung Aru (TAME)  menganjurkan empat siri acara hujung minggu untuk mendidik orang ramai mengenai hidupan marin.

Acara yang berlangsung selama sebulan itu bermula semalam dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) sempena Hari Lautan Sedunia dan Hari Segitiga Terumbu Karang.

Pada Sabtu dan Ahad, TAME akan mengadakan bengkel guna semula, pameran, acara mencari harta karun dan pasar hijau yang bermula jam 2 petang hingga 6 petang.

Beberapa pakar dalam bidang marin turut dijemput untuk berkongsi kepakaran, antaranya mengenai pemulihan terumbu karang, pemeliharaan rumput laut, rumpai laut dan kepentingannya, mengurangkan tangkapan perikanan, pengurusan kawasan marin berasaskan komuniti serta polisi dan undang-undang marin.

“Tujuan utama acara ini adalah untuk mendidik generasi muda mengenai nilai alam sekitar marin melalui permainan, kerja kreatif, bengkel amali dan perkongsian daripada pakar dalam bidang marin.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk kanak-kanak, pelajar dan ibu bapa akan menghadiri acara ini. Kita menawarkan kemasukan percuma kepada pelajar yang mendaftar awal,” kata Penyelaras Marin TAME, Michael Yap.

Bercakap mengenai isu marin, Yap berkata pencemaran plastik di lautan adalah satu masalah yang bukan saja membawa kesan negatif kepada hidupan marin, malah manusia juga.

Katanya, apabila bahan plastik hancur menjadi plastik mikro, zarah plastik yang beracun boleh memasuki rantaian makanan dan akhirnya masuk ke dalam tubuh manusia.

Bagi mencegah masalah itu, katanya masyarakat umum boleh bermula dengan mengurangkan pembuangan plastik dan kesan karbon melalui gaya hidup hijau atau sifar sisa buangan.

“Jangan amalkan plastik sekali pakai, sebaliknya gunakan alternatif lain yang boleh diguna semula, bawa beg yang boleh diguna semula apabila membeli-belah dan bawa bekas sendiri untuk membeli makanan dibawa balik.

“Selain itu, amalkan tenaga hijau seperti solar, buat kitar semula dan guna semula untuk mengurangkan sisa pepejal, malah menjadi sukarelawan dalam kerja pemuliharaan marin,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan TAME melalui sedikit dana dan usaha publisiti kepada artis dan penggemar alam sekitar untuk memulakan acara awam berkenaan.

“Inilah kerjasama di antara kerajaan dan penginovasi akar umbi yang kita harap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pemimpin masyarakat untuk tampil ke hadapan dan mencadangkan inisiatif murni yang memberi manfaat kepada rakyat sambil mempromosikan kreativiti dan inovasi,” katanya.

Sebagai tambahan, Viviantie berkata SCENIC mahu mempromosikan Keusahawanan Sosial (SE) yang merupakan salah satu daripada tunggak SCENIC   Keusahawanan Berteraskan Inovasi (IDE) di Sabah.

“SE juga mengambil berat aspek melindungi alam sekitar. Kita berharap melalui perniagaan SE yang berusaha melindungi alam sekitar dan planet, kita dapat mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai betapa pentingnya melindungi alam sekitar dan mencegah perubahan iklim,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *