HomeIsu tempatanStatus OKU bukan halangan untuk raih kejayaan

Status OKU bukan halangan untuk raih kejayaan

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Status orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu tidak menjadi halangan untuk Steverd Silvester,22, menamatkan pengajian dalam program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering di Politeknik Kota Kinabalu.

Katanya yang kini bekerja sebagai juruwang di sebuah restoran makanan segera di Tanjung Aru mengakui berdepan pelbagai cabaran meskipun mempunyai kekurangan pada dirinya namun itu bukan alasan untuk merendah diri dan menguburkan impian untuk berjaya seperti insan normal lain.

“Semestinya banyak cabaran saya hadapi semasa belajar, ketika menjalani latihan industri dan juga bekerja, namun ia bukan alasan untuk saya mencapai kejayaan.

“Ketika saya masuk ke sini, saya dapat satu pengalaman baharu dan apabila tamat seterusnya konvokesyen, saya sangat berpuas hati,” katanya.

Katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu ke-26 di sini semalam.

Steverd berkata menerusi jurubahasa isyarat Darmah Abdullah.

Majlis itu telah disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan turut dihadiri Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Dullah Muluk.

Steverd yang  mengikuti pengajian selama dua tahun di Politeknik Kota Kinabalu termasuk menjalani latihan industri berkata, pada masa ini dia belum mempunyai sebarang perancangan namun akan memberi tumpuan kepada pekerjaan yang ada.

“Saya belum ada perancangan kerana pada masa ini saya baru saja bekerja pada Mei lalu.  Saya akui banyak tempat saya hadiri temuduga dan akhirnya diterima bekerja sebagai juruwang di KFC.

“Bagi rakan-rakan yang senasib dengan saya, jika ada peluang belajar, jangan lepaskan.  Bagi rakan yang masih belajar jangan cepat putus asa.

“Terus berusaha dan jika ada masalah, dapatkan bimbingan dari pensyarah,” katanya.

 Anak sulung dari dua beradik itu pernah menjalani latihan industri di salah sebuah hotel di Lahad Datu selama satu semester.

“Latihan industri itu adalah satu pengalaman walaupun tidak digunakan dalam bekerja tapi pengalaman itu sangat berharga,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Dapur Kita-Kita’ bantu ringankan pekerja berpendapatan rendah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular