HomeIsu tempatanGenerasi muda disaran sentiasa hormati golongan orang tua - Amisah

Generasi muda disaran sentiasa hormati golongan orang tua – Amisah

Read Time:1 Minute, 57 Second

RANAU: Genarasi muda disaran agar sentiasa menghormati golongan orang tua (warga emas) kerana merekalah yang mendidik dan mengasuh anak- anak untuk berjaya dalam kehidupan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (dilantik), Datuk Amisah Yassin berkata, kejayaan hidup generasi muda hari ini, merupakan hasil usaha asuhan golongan warga emas yang telah mendidik dan menjaga anak-anak agar menjadi anggota masyarakat yang berguna kepada keluarga dan negara.

“Oleh itu anak-anak punya tanggungjawab menjaga dan menghormati golongan warga emas dengan menjaga makan-minum dan pakaian mereka”, jelas Datuk Amisah ketika berucap mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun bagi merasmikan majlis Hari Warga Emas, Sambutan Hari Ibu Bapa, Pesta Perahu Naga dan Makan Malam  di Dewan Persatuan Hakka Ranau, anjuran Persatuan itu baru-baru ini.

Menyentuh majlis itu, Amisah memuji Persatuan Hakka daerah Ranau atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut setiap tahun.

“Kejayaan persatuan Hakka menganjurkan program menyantuni warga emas adalah amat murni dan patut dicontohi oleh persatuan lain sebagai mengenang jasa, bakti  dan pengorbanan mereka mendidik anak-anak agar berjaya dalam hidup sama ada menjadi seorang pemimpin yang disegani, menjawat sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam atau seorang ahli perniagaan yang berjaya”, tegas Amisah.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Hakka Ranau, Datuk Jimmy Than Yuk Leong dalam ucapan aluannya, berterima kasih atas kehadiran Datuk Amisah dan mengharapkan majlis yang diadakan menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian antara mereka dengan  warga emas yang dirai.

“Kita mengharapkan kepada warga emas dan ibu bapa yang hadir agar sentiasa sihat dan panjang umur bersama keluarga masing-masing hingga ke akhir hayat,” katanya.

Beliau juga merakam penghargaan terima kasih kepada Masidi walaupun tidak hadir, namun sokongan dan sumbangannya terhadap program Persatuan Hakka sebelum ini banyak membantu dan memberi komitmen serta kerjasama kepada persatuan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang lalu.

“Saya juga mengajak kepada masyarakat Hakka supaya sentiasa memupuk persaudaraan  dan perpaduan dikalangan mereka dengan suku kaum lain sebagai penduduk Ranau yang sentiasa hidup aman dan harmoni”, tambah Jimmy.

Seramai 45 orang warga emas  yang berusia 86 tahun ke bawah menerima sumbangan ‘Angpau’ daripada persatuan Hakka Ranau.

Majlis diserikan dengan acara Memotong Kek oleh dua orang warga emas, seorang lelaki berusia 84 tahun dan perempuan berusia 86 tahun disusuli dengan pengagihan ‘Bunga’ kepada para ibu dan bapa yang  hadir, disempurnakan oleh Datuk Amisah dan Datin Lily, isteri Datuk Jimmy.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

‘Dapur Kita-Kita’ bantu ringankan pekerja berpendapatan rendah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular