HomeIsu tempatanKerajaan Sabah merupakan negeri pertama beri sumbangan taja program keusahawanan OKU penglihatan...

Kerajaan Sabah merupakan negeri pertama beri sumbangan taja program keusahawanan OKU penglihatan – Faiz

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merupakan kerajaan negeri pertama yang menyumbangkan dana untuk program keusahawanan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Urut Terapi Tahap 3 anjuran Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (PERKUM) Malaysia di sini pada 30 Mac lalu.

Perkara itu disuarakan oleh presiden PERKUM Mohammad Faiz Asangku Abdullah, 49, semasa ditemui pemberita Sabah Media baru-baru ini di Pusat Urut & Refleksologi Kingfisher dekat sini.

“Selain mendapat sumbangan tajaan dari sektor korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program keusahawanan seperti ini di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, kerajaan Sabah merupakan kerajaan negeri pertama memberi tajaan kewangan untuk program ini.

“Saya mewakili peserta program tersebut sangat berterima kasih di atas keprihatinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melalui Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat, (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri yang telah menyumbangkan RM12,962 untuk melaksana program SKM Urut Terapi Tahap 3 dan kini kursus tersebut sedang berjalan.

“Sebagai penghargaan kami kepada Ketua Menteri Sabah, saya teringin sekali menjemput sekiranya Ketua Menteri dapat meluangkan masa untuk menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 25 orang peserta pertama ini apabila tamat kursus latihan nanti,” kata Faiz yang juga salah seorang golongan OKU cacat penglihatan.

Faiz juga berharap akan memperluaskan program seumpamanya ke daerah-daerah lain untuk memudahkan peserta-peserta dari golongan tersebut yang jauh seperti Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat dan lain-lain dapat mengikuti program keusahawanan yang dianjurkan di tempat mereka sendiri tanpa pergi ke Kota Kinabalu.

“Kami akan menjelajah ke seluruh Sabah tetapi melihat kepada keadaan geografi di negeri Sabah ini, hubungan perjalanan dari satu daerah ada yang memakan masa sehingga 10 jam ke atas jadi saya mahu kalau ada yang ingin menaja program ini dari badan-badan kerajaan, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), ia sangat dialu-alukan kerana ia membolehkan program itu akan dapat dijalankan di daerah-daerah tersebut tanpa pergi ke Kota Kinabalu lagi ,” jelasnya.

Katanya, SKM ini adalah sangat penting kerana kerajaan telah mengiktiraf satu sijil pencapaian yang baik kepada penerimanya dan melayakkan pemilik sijil tersebut kepada mendapatkan pekerjaan dan memudahkan urusan sekiranya peserta ingin membuka kedai produk, perkhidmatan atau sebagainya.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkasakan ekonomi golongan tersebut dan meningkatkan dalam bidang kemahiran yang mereka ingin ceburi bukan sahaja dalam bidang Urut Terapi tetapi juga dalam bidang-bidang lain seperti membuka kedai runcit, supermarket dan juga kraftangan,”tambahnya.

Pada Mac lalu, di Menara Kinabalu, Pengarah IKRAR, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim mewakili Ketua Menteri menyerahkan sumbangan RM12,962 kepada PERKUM yang diwakili oleh Penasihat PERKUM Datuk Seri Hisham Wahab bagi melaksanakan program keusahawanan tersebut.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Peranan persatuan penting galakkan pendermaan darah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular