KePKAS tarik penyertaan syarikat penerbangan Singapura terus ke Lapangan Terbang Sandakan dan Tawau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang berusaha menarik penyertaan syarikat penerbangan Singapura untuk meluaskan penerbangannya ke Lapangan Terbang Sandakan dan Tawau.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin dalam satu pertemuan bersama Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara) Sim Ann, semalam berkata, penerbangan terus ke dua daerah ini bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Sabah secara keseluruhannya pada masa akan datang.

“Laluan penerbangan ini akan memudahkan pelancong luar untuk datang ke destinasi pelancongan yang menarik seperti Pulau Sipadan, Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, dan banyak lagi”.

Turut hadir dalam perjumpaan itu, adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Yusrie Abdullah, Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman dan beberapa ahli Lembaga Pelancongan Sabah.

Jelasnya, kementerian akan mengemukakan cadangan kepada syarikat penerbangan untuk menambah laluan baharu ini dalam tempoh terdekat.

Inisiatif tersebut diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan pelancong bukan sahaja daripada Singapura malah daripada negara- negara luar yang lain berikutan Lapangan Terbang Changi adalah salah sebuah pusat penerbangan yang utama di Asia.

Kementerian menerusi Lembaga Pelancongan Sabah juga kini sedang giat menjalankan business to business’ (B2B) dan ‘business to customer’ (B2C) dalam meningkatkan usaha promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Sabah.

Tambah Jafry dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus, beliau yakin dengan prospek pelancongan yang besar dan permintaan yang tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *