HomeUtamaPenjawat awam diminta bantu pelaksanaan pembangunan di Sabah - Hajiji

Penjawat awam diminta bantu pelaksanaan pembangunan di Sabah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Penjawat awam di negeri ini diminta bersama-sama membantu melaksanakan pembangunan di Sabah khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancar Mac tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sokongan dan kerjasama penjawat awam adalah penting dalam memastikan semua pelan pembangunan yang direncanakan kerajaan khusus di Sabah berjalan lancar demi manfaat rakyat.

“Sebenarnya, masih banyak yang perlu kita lakukan. Saya gembira walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19, ekonomi Sabah kekal berdaya tahan. Ekonomi negeri berada di landasan yang betul dan ada tanda-tanda pemulihan.

“Di bawah pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Sabah mencatatkan pendapatan RM 5.449 bilion pada 2021, tertinggi dalam rekod. Pada separuh pertama 2021, Sabah menarik RM4.4 bilion pelaburan asing, ketiga tertinggi selepas Kedah dan Selangor.

“Pelaburan utama dalam pembuatan, pelancongan dan pertanian ini dijangka mewujudkan hampir 10,000 pekerjaan. Kami juga menjangkakan bahawa pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, akan memulihkan semula sektor pelancongan Sabah,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Solidariti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai di sini malam tadi.

Majlis itu turut hadiri Presiden CUEPACS, Dato’ Adnan Mat.

Sehubungan itu Ketua Menteri berharap semua penjawat awam terus memperkukuh
semangat perpaduan, kekitaan dan setiakawan kerana pembangunan sukar direalisasi tanpa sokongan, komitmen serta kerjasama penjawat awam.

Dalam pada itu Hajiji berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan penjawat
awam dan berusaha untuk memenuhi keperluan golongan itu bagi membolehkan
mereka selesa melaksanakan tugas.

Justeru katanya, pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
pada bulan Mac untuk meningkatkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500
mulai 1 Mei lalu, amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri.

“Peningkatan gaji minimum ini memang ditunggu-tunggu semua oleh rakyat yang
terkesan akibat pandemik COVID-19, khususnya melibatkan golongan pekerja
berpendapatan rendah.

“Walaupun kenaikan gaji hanya dikenakan kepada perniagaan di sektor swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih, tetapi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja perlu membayar gaji minimum 1,500 ringgit mulai 1 Januari 2023.

“Kenaikan gaji minimum ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap bebanan yang
ditanggung rakyat, terutama selepas pandemik COVID-19,” katanya.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata majlis ini amat bermakna kerana ia menggabungkan tiga perayaan yang berbeza yang diraikan oleh pelbagai bangsa serta agama di negara.ini, tetapi ada persamaannya iaitu boleh menjadi wadah untuk memupuk perpaduan serta kerjasama erat dalam kalangan rakyat.

“Majlis seperti ini sentiasa mengingatkan kita bahawa perpaduan dalam kepelbagaian yang telah membolehkan kita hidup bersama secara harmoni dan menghormati serta menerima antara satu sama lain. Jangan biarkan perbezaan meruntuhkan perpaduan yang telah kita semai dan bina sejak turun-temurun.

“Saya yakin program seperti ini dapat mengeratkan lagi perhubungan di antara semua kaum di negara kita. Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama dan bersatu tidak kira pangkat, bangsa, agama dan fahaman politik. Semoga komitmen yang padu semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama akan dapat
menjadi penggerak bagi mempercepatkan kejayaan negara.

“Saya juga berharap semangat perpaduan ini dibawa bersama-sama oleh semua penjawat awam ketika menjalankan tugas tanpa menjadikan perbezaan agama, bangsa dan budaya sebagai penghalang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya