HomeUtamaKerajaan alu-alukan inisiatif NGO laksana program bermanfaat kepada rakyat

Kerajaan alu-alukan inisiatif NGO laksana program bermanfaat kepada rakyat

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan sentiasa mengalu-alukan inisiatif pelbagai pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program-program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini termasuklah penganjuran program derma darah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia merupakan hasrat murni NGO dalam menyelamatkan nyawa selain membantu meningkatkan stok darah di Pusat Darah Negara.

“Saya amat mengalu-alukan inisiatif mulia ini yang menunjukkan keprihatinan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dalam mencapai hasrat murni mereka menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

“Selain itu, penganjuran program ini juga akan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat di Sabah yang memerlukan darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Derma Darah Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Maria David Edick.

Shahelmey berkata, penganjuran program itu juga adalah seiring dan bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ selain membentuk masyarakat penyayang.

Katanya, ianya juga menjadi asas kepada pembentukan masyarakat harmoni dan negara maju dalam berbilang bangsa dan agama.

“Program-program sebegini sememangnya menjadi asas untuk memupuk semangat ‘Keluarga Malaysia’  di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, program yang dilaksanakan BSMM itu telah dijalankan sejak dua tahun lalu dimana negara termasuk Sabah berusaha untuk memerangi penularan virus COVID-19.

Katanya, sepanjang tempoh itu, bekalan darah berada dalam keadaan yang rendah kerana aktiviti-aktiviti pendermaan darah terpaksa ditangguhkan.

“Perkara ini bukan sahaja berlaku di  Sabah malah di peringkat global juga turut terjejas. Namun demikian, walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), BSMM tetap berusaha untuk mengambil inisiatif bekerjasama dengan unit tabung darah di setiap daerah bagi menjalankan program-program menderma darah.

“Saya difahamkan pada tahun 2020 BSMM telah berjaya mengutip 7,717 pek darah manakala pada tahun 2021 sebanyak 9,317 pek darah telah berjaya dikumpul,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya