Polis kesan lelaki amuk di KM253 Lebuhraya Utara Selatan 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:48 Second

CYBERJAYA — Polis mengesan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kenderaan di lorong kanan Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar, Ipoh.

Menurut Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya menerima laporan daripada pemandu kenderaan yang berada di lokasi terbabit kira-kira 7.12 petang, semalam.

“Laporan polis dibuat oleh lelaki itu di Ipoh namun siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

“Suspek dan semua saksi kejadian akan dikesan untuk membantu siasatan,” katanya, lapor Bernama.

Mior berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan galangan di jalan awam.

Terdahulu, gambar seorang lelaki berdiri di lorong kanan lebuh raya itu tular di media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum keluar dari kenderaan.

Suspek kemudian dikatakan mengamuk sambil memegang rantai emas serta memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *