HomeIsu tempatanKPDNHEP Sabah tumpas aktiviti penyelewengan 8,300 liter diesel bersubsidi

KPDNHEP Sabah tumpas aktiviti penyelewengan 8,300 liter diesel bersubsidi

Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi sebanyak 8,300 liter di sebuah stor di daerah Keningau, di sini semalam.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata,  serbuan yang dilakukan sepasukan penguatkuasa kementerian pada jam 9.30 malam itu telah menyita sebuah lori tangki dan sebuah kenderaan `prime mover` berserta peralatan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM98,345.

Katanya, seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Serbuan ini adalah hasil risikan selama seminggu dan modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan `prime mover` dan seterusnya memindahkan minyak dari tangki kenderaan `prime mover` berkenaan ke dalam lori tangki yang terletak di stor terbabit.

“Berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan tiada lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi berkenaan.

Katanya,  siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak terlibat sama ada bersubahat dengan kegiatan ini.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Katanya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, para pengusaha stesen minyak juga adalah diingatkan agar tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

Katanya, siasatan dan tindakan di bawah subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.

“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran yang disediakan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ Kk Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular