Ubah “mindset”, lebih bermotivasi naikkan imej Kerajaan Negeri – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu jentera Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Sabah menjadikan tahun 2022 sebagai titik permulaan terkini dalam lonjakan perubahan ‘mindset’, cara proses kerja, komunikasi berkualiti dan lebih bermotivasi untuk naikkan imej Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, perkhidmatan awam juga perlu tampil dengan idea-idea lebih bernas dan berani, agresif membuat penambahbaikan demi Sabah Maju Jaya.

Beliau berkata, ini sejajar dengan matlamat kerajaan Sabah yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang ke negeri ini.

“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan itu dipermudahkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan. Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) tahun 2021 dan melancarkan buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berharap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dapat aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.

Katanya, Sabah mesti setanding atau menjadi contoh tauladan yang positif kepada perkhidmatan awam negeri lain. Semua Ketua Jabatan Negeri atau Persekutuan mesti menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam.

“Ketua Jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui Hala Tuju Inovasi Agensi yang diterajui”, tegasnya.

Menurutnya, Kerajaan menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam memperkasakan sektor awam Sabah.

Perkhidmatan awam adalah tunjang pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan program iSAS 2021 telah membudayakan Inovasi iaitu menggunakan pendekatan secara hibrid di mana kaedah bersemuka dan secara dalam talian dipraktikkan mengikut kesesuaian keadaan.

“Selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ, saya menyokong padu pelaksanaan program inovasi ini dengan harapan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam negeri dapat ditambah baik agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan dari semasa ke semasa dengan lebih pantas dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Sekiranya kita leka, malas dan sukar untuk mengadaptasi perubahan ini, maka kitalah yang akan hanyut serta tertinggal di belakang dalam arus digitalisasi pada hari ini.

Sesungguhnya, dalam usaha membudayakan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan awam pada hari ini, penjawat awam perlu lebih peka dan responsif dengan keperluan rakyat. Tiada guna sekiranya idea berinovasi yang dicetuskan, tidak praktikal atau tidak selaras dengan kehendak sebenar pelanggan kita”, tambahnya.

Hajiji berkata, kita juga harus menerima bahawa inovasi juga merupakan suatu anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara yang mampu berdaya saing sehingga diperingkat global.

“Sabah bukan lagi dalam era 1972, 1982 atau 1992, ayuh semua anggota perkhidmatan awam di Sabah, kita bangkit bersama dengan semangat 2022, untuk lebih berani ubah minda dan aktif untuk mencapai Sabah Maju Jaya”, tambahnya.

Beliau juga berharap program inovasi ini dapat dikembangkan skopnya dengan mengadakan Konvensyen Inovasi Negeri Sabah dengan kerjasama dan penglibatan perkhidmatan awam negeri serta persekutuan yang akan menjadi pemacu kejayaan sektor awam Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *