Perpustakaan masih relevan, main peranan sedia sumber informasi terbaharu – Yakub

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) berhadapan cabaran besar dalam menyediakan perkhidmatan yang terus berubah khususnya dengan kemunculan teknologi moden dan era digital.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, PNS terus merancakkan lagi budaya membaca dengan memberi perkhidmatan pinjaman e-buku secara atas talian selain bahan bacaan dari segi fizikal.

Katanya, perkhidmatan e-buku juga boleh didapati secara percuma serta boleh digunakan oleh semua ahli persatuan.

“Perpustakaan memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan untuk mendapatkan sumber informasi terbaharu dan peranannya masih relevan meskipun perkembangan teknologi amat pesat pada masa kini.

Yakub menyampaikan hadiah kepada penerima ‘Top Borrower’ yang diwakili Ketua Cawangan PNS Tanjung Aru Nelly Green

“Sepanjang Setengah Abad ini, pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh perpustakaan dari segi perkhidmatan yang disediakan, perkembangan teknologi, pertambahan kakitangan dan juga  pembangunan perpustakaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-50 PNS dan Pelancaran Bulan PNS di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Zainudin Aman; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah PNS Fatimah Abdillah.

Yakub berkata, sehingga kini PNS telah mempunyai rangkaian yang luas iaitu sebanyak 25 cawangan perpustakaan bersama empat perkhidmatan perpustakaan tambahan, 67 Perpustakaan Desa, 11 bas bergerak dan 6 Des@net.

Katanya, PNS turut melaksanakan pusat perkhidmatan tambahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang merupakan perpustakaan pertama diwujudkan di lapangan terbang di Malaysia.

“Pewujudan perpustakaan ini merupakan kerjasama Airport Holdings Berhad yang mula diilhamkan sejak 2017 lagi. 

“Dengan perkembangan rangkaian perpustakaan ini, saya amat berharap agar institusi perpustakaan dapat diserlahkan dan disedari akan kepentingannya kepada masyakat, lebih-lebih lagi dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca serta berilmu,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, Bulan Perpustakaan ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak perpustakaan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat bagi mengetahui fungsi perpustakaan.

Katanya, penganjuran program seumpama ini akan memberi ruang kepada pihak perpustakaan untuk memperkenalkan perkhidmatan, koleksi dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan kepada pelanggannya.

“Oleh itu,  saya menyeru kepada semua masyarakat untuk berkunjung ke perpustakaan dan menyertai program-program dan aktiviti yang dirancang sempena bulan perpustakaan ini.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha penganjuran program bulan perpustakaan ini. Usaha ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan perpustakaan untuk menyediakan perkhidmatan dan meningkatkan minat generasi kini datang ke perpustakaan  dan menjadikan perpustakaan sebagai pusat sumber maklumat untuk belajar serta menimba ilmu pengetahuan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *