KOTA KINABALU : Sebuah syarikat dari Singapura menyatakan hasrat untuk menambah pelaburan dalam sektor pelancongan iaitu bagi membangunkan sebuah pusat peranginan yang dilengkapi pelbagai kemudahan hotel bertaraf lima bintang serta taman tema di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu cadangan itu memandangkan syarikat terbabit memilih kawasan yang berada dibawah pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS).
“Namun, kita perlu melihat perkara ini terlebih dahulu termasuk melihat bagaimana pendekatan terbaik dalam membawa pelaburan ke tempat berkenaan kerana ia adalah kawasan taman yang dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif, GSH Corporation, Datuk Sam Goi di negara jiran itu baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, hasrat untuk membangunkan taman tema pertama di Sabah juga turut dibincangkan.
Jafry berkata, industri taman tema semakin meningkat dan dengan adanya pelabur luar yang mahu membangunkan taman tema dan di harap negeri ini juga akan mempunyai taman tema yang setanding dengan Desaru Coast dan Legoland Malaysia.
“Ini adalah satu ruang dan peluang untuk Sabah kerana ia bukan sahaja mampu membawa lebih ramai pelancong tetapi juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus merancakkan lagi ekonomi negeri Sabah,”katanya.