Selepas Perbincangan dengan industri, Kerajaan beri kebenaran khas eksport ayam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU — Kerajaan hari ini memberi kebenaran khas untuk mengeksport ayam selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan pemain industri.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memaklumkan, kebenaran eksport diberikan untuk ayam daging berwarna termasuk ayam kampung dan ayam hitam saja.

Menurutnya, eksport juga dibenarkan untuk semua produk berasaskan ayam dan Day Old Chick (DOC) Parent Stock saja.

“Kerajaan menegaskan larangan eksport untuk ayam pedaging, ayam bulat, keratan ayam dan anak ayam Day Old Chick (DOC) umur sehari ayam pedaging masih kekal berkuat kuasa. 

“Kawalan secara fizikal di semua pintu keluar akan terus dilaksanakan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, barangan eksport komoditi itu perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit dan sebarang penyalahgunaan terhadap kebenaran khas ini boleh tindakan mengikut Subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728].

Katanya, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Kerajaan akan terus memantau keadaan keadaan bekalan ayam dalam negara yang semakin beransur pulih dan dijangka akan kembali stabil bermula Jun 2022. 

“Sebarang pertanyaan atau maklum balas mengenai larangan eksport komoditi ayam, boleh dikemukakan melalui emel kepada [email protected],” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menghentikan eksport ayam yang meliputi ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam bermula 1 Jun lalu.

Ini bagi memastikan pengeluaran bekalan ayam yang berterusan supaya sekuriti makanan di Malaysia kekal terjamin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *