COVID-19 : Angka jangkitan kembali meningkat, rakyat diseru terus patuhi SOP

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Rakyat di negeri ini diseru untuk terus mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) yang masih berkuatkuasa bagi mengelak jangkitan virus COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, trend semasa jangkitan COVID-19 pada ketika ini menunjukkan peningkatan pada tiga angka.

“Dengan mengambilkira perkembangan semasa angka COVID-19 di negeri ini, amatlah disarankan agar masyarakat mematuhi semua SOP yang berkuatkuasa bagi mengelak jangkitan virus COVID-19.

“Trend semasa menunjukkan peningkatan jangkitan harian dan rakyat adalah diseru agar tidak lalai daripada mematuhi semua SOP khususnya semasa berada ditempat-tempat yang sesak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, angka jangkitan harian terus meningkat dengan jumlah kes baharu sebanyak 127 kes iaitu 12 kes lebih tinggi daripada semalam.

Katanya, daerah Penampang mencatatkan jangkitan empat kali ganda angka semalam, daripada 12 kes kepada 48 kes.

“Ini merupakan pertambahan 36 kes dalam tempoh 24 jam dan menjadi penyumbang utama kepada pertambahan jumlah jangkitan baharu di Sabah.

“Sebanyak 13 daerah mencatatkan sekurang-kurangnya satu jangkitan baharu sementara jumlah daerah yang tidak mencatat sebarang jangkitan kekal 12 daerah,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, secara keseluruhan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes berbanding daerah yang mencatatkan jumlah kes lebih tinggi adalah seimbang.

Katanya, Kota Kinabalu masih mencatatkan jangkitan baharu dua angka dengan 32 kes, penurunan sembilan kes berbanding sebelumnya.

“Putatan juga mencatatkan penurunan sebanyak sembilan kes dan Beaufort berkurangan sebanyak lapan kes berbanding angka semalam.

“Dengan pertambahan kes harian di beberapa daerah khususnya di daerah-daerah yang padat dengan penduduk, peratusan pesakit kontak rapat juga mulai bertambah,” katanya.

Katanya, sebanyak 10 daripada 32 kes baharu di Kota Kinabalu merupakan kontak rapat dan 50 peratus daripada kes hari ini di Penampang adalah kontak rapat.

“Jumlah ini dijangka bertambah secara berganda setiap hari (kesan multiplier) sekiranya lebih ramai orang terdedah kepada pembawa (pesakit) virus COVID-19,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *