Aspek pencegahan perlu dilaksana, pastikan penjawat awam sentiasa berintegriti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Semua kakitangan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah termasuk jabatan dan agensi dibawahnya diminta untuk sentiasa mematuhi semua peraturan yang dikuatkuasakan Kerajaan bagi memastikan penjawat awam sentiasa berintegriti.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, ia termasuklah mematuhi Pekeliling Perkhidmatan, Garis Panduan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, aspek pencegahan merupakan satu bentuk kawalan dalaman dan perlu dilaksana oleh Ketua Jabatan sama ada dalam bentuk pemantauan, penaziran atau lain-lain kaedah yang bersesuaian.

“Keperluan pencegahan ini amat penting kerana perolehan serta pengurusan dana atau bantuan merupakan bidang yang berisiko untuk berlakunya rasuah serta penyelewengan.

“Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes tatatertib melibatkan warga Kementerian serta agensi yang perlu ditangani agar tidak lagi berlaku di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Minggu Integriti KePKAS dan Jabatan serta Agensi dibawahnya.

Jafry berkata, sebagai usaha berterusan untuk mengatasi isu integriti, Kementerian akan meneruskan program serta aktiviti pengukuhan serta kesedaran integriti kepada semua warga kerja.

Katanya, Minggu Integriti yang dilaksanakan adalah sebagai pemicu kepada usaha untuk membudayakan nilai-nilai integriti.

“Tema ‘Integriti Budaya Amalan kita, Rakyat Sejahtera’ dipilih bagi meningkatkan lagi penghayatan dan pembudayaan integriti di kalangan warga Kementerian serta jabatan/agensi dan seterusnya mensejahterakan rakyat.

“Ia mendokong keperluan agar integriti sewajibnya menjadi pegangan kukuh dan dikekalkan dalam hati kita. Ia turut sinonim dengan rasa kebertanggungjawaban kita kepada Allah S.W.T,” katanya.

Katanya, hal itu sangat penting kerana apabila penjawat awam mempunyai integriti pastinya akan memberi kesedaran serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian.

Terdahulu, Jafry berkata, Kerajaan telah meningkatkan usaha untuk memerangi gejala rasuah dan memastikan bahawa perkhidmatan awam dibarisi oleh penjawat awam yang berintegriti.

Katanya, sebagai jentera Kerajaan yang melaksanakan segala dasar dan keputusan Kerajaan, penjawat awam perlu berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti dan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Namun, isu atau aduan mengenai pelanggaran tatakelakuan serta teguran-teguran audit terutama yang sering berulang secara tidak langsung menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta imej perkhidmatan awam, Kementerian serta agensi/jabatan di bawahnya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *