HomeIsu tempatanLebih 500kg sampah dikutip hasil pembersihan pantai dan dasar laut

Lebih 500kg sampah dikutip hasil pembersihan pantai dan dasar laut

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lebih 500 kilogram sampah dikutip hasil dari pembersihan pantai dan pembersihan dasar laut Sempena Hari Lautan Sedunia 2022 dengan bertemakan “Revitalisasi: Tindakan Kolektif untuk Lautan,”.

Program Pembersihan Pantai dan Dasar Laut pada 15 Jun baru- baru ini adalah antara 14 program kesedaran telah dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Seramai 150 pelajar program Sains Marin tahun 1, 2 dan 3 menyertai program itu dan sampah-sampah berjaya dikutip dalam tempoh dua jam bermula jam 9 pagi di persekitaran dan perairan pantai Outdoor Development Centre (ODEC), UMS.

Program ini juga dianjurkan dengan libat sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar dan Air (KASA).

Majlis perasmian pelancaran program telah disempurnakan oleh Dr. Fikri Akmal Khodzori, selaku Pengarah program Ocean Celebration 2022 peringkat UMS.

Dr Fikri berkata, program ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat kepada pengunjung pantai dan seterusnya mengurangkan pencemaran sampah terhadap ekosistem marin terutamanya terumbu karang.

“Pencemaran sampah dari plastik akan mengancam hidupan marin seperti penyu. Ini kerana, penyu beranggapan bahawa plastik yang terapung di lautan sebagai obor-obor lalu memakannya. Hal ini boleh menyebabkan kematian akibat plastik yang tersekat dalam sistem penghadaman,” jelas Dr Fikri dalam ucapan pelancarannya.

Justeru, katanya, sampah seperti pukat hantu dan tali tangsi juga boleh menyebabkan penyu terjerat dan akhirnya mati akibat pergerakannya yang terhad.

Sehubungan dengan itu, Dr Fikri menyeru semua pihak agar bersikap cakna dan prihatin kepada penjagaan alam sekitar khususnya sungai dan pantai.

Sepanjang program dijalankan, Penyelaras Bersama, Dr. Nurzafirah Mazlan, dibantu oleh pelajar pasca-siswazah, Nur Nashrah Abd Rahman, telah menjalankan kajian dan pengasingan ke atas sampah-sampah yang dikutip dan hasil mendapati yang sampah terdiri dari barang-barang domestik seperti beg plastik, penutup minuman, botol air minuman plastik, botol kaca, penyedut minuman, kotak rokok, lampin pakai buang bayi dan pembungkus makanan.

Lebih dari 50 peratus sampah adalah dari beg plastik, botol air minuman plastik dan pembungkus makanan.

Hasil kajian ini akan diterbitkan kepada orang awam sebagai inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik, dan mengamalkan pembuangan sampah yang lebih bertanggungjawab.

Kemuncak kepada program ini adalah pembersihan dasar laut yang julung kalinya diadakan di UMS melibatkan seramai 35 peserta terdiri dari pelajar sains marin dan staf IPMB telah mengutip sebanyak 90 kilogram sampah dari dasar laut.

Selain longgokkan sampah dari barangan plastik, peserta juga telah menjumpai jaring atau jala ikan, tali, mata kail dan perangkap ikan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular