HomeUtamaTeguran audit perlu diambil perhatian - Rosmadi

Teguran audit perlu diambil perhatian – Rosmadi

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi menambahbaik semua teguran yang diberikan ketika pengauditan dilaksanakan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata, teguran itu perlu diambil perhatian semasa pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit sebelum laporan audit dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Tindakan susulan dengan segera ini bukan hanya semata- mata menyelesaikan teguran audit, tetapi juga untuk memastikan semua program atau projek kerajaan dapat dinikmati oleh golongan sasar mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan.

“Langkah proaktif dan susulan itu adalah kunci kepada pencapaian matlamat pelbagai inisiatif kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Libat Urus Penyelesaian Isu-Isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Negeri Sabah Tahun 2022, di sini kelmarin.

Rosmadi berkata, kaedah pemantauan dan penyeliaan secara menyeluruh perlu dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pegawai bawahan, kontraktor dan vendor yang terlibat.

Katanya, langkah ini bagi menentukan sama ada berlaku sebarang kelemahan yang sama dalam pelaksanaan projek atau program lain yang tidak diaudit dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau turut menyeru semua Setiausaha Tetap di setiap Kementerian untuk mengingatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah kawal seliaan masing-masing supaya sentiasa menanda aras tadbir urus berpandukan Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG) 2017, The Green Book : Enhancing Board Effectiveness 2006 dan Pekeliling atau Peraturan serta Good Governance Practices yang diamalkan oleh business entity yang berprestasi tinggi. 

“Justeru, saya berharap agar penjawat awam dapat bekerjasama memperbaiki segala kelemahan sekaligus memantapkan usaha penambahbaikan dalam pelaksanaan projek, aktiviti dan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Bengkel Penyelesaian Isu-Isu LKAN oleh Jabatan Audit Negara ini merupakan kesinambungan program selepas Bengkel Pre-Council yang telah diadakan pada minggu lepas.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari ini bermatlamat untuk menyelesaikan isu-isu LKAN, selain meningkatkan akauntabiliti, integriti, tadbir urus dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. 

Hadir sama, Mohd Sarjana Ibrahim, Pengarah Bahagian Susulan Audit, Jabatan Audit Negara,  Mohd Nasri Mohd Nasir, Pengarah Jabatan Audit Negara, Cawangan Negeri Sabah, Ramlee Kariah, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perkhidmatan) JPAN, Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian, serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya