HomeIsu tempatanKaki anak gajah terpaksa dipotong akibat terkena jerat tali

Kaki anak gajah terpaksa dipotong akibat terkena jerat tali

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kaki kanan hadapan seekor anak gajah betina terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawanya kerana kecederaan yang teruk dialami akibat terkena jerat tali.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Jabatan Hidupan Liar telah menerima laporan daripada orang awam mengenai seekor anak gajah kelihatan cedera di kawasan Tungku, Lahad Datu pada Sabtu lalu (18 Jun).

“Sebaik menerima laporan, sepasukan Penyelamat Jabatan Hidupan Liar diarah untuk menjejaki anak gajah tersebut dan berjaya menemui seekor anak gajah betina berumur kurang dari 2 tahun itu mengalami kecederaan di kaki kanan hadapan akibat terkena jerat tali di Felda Sahabat 5,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Keadaan anak gajah yang telah dipotong kakinya akibat terkena jerat tali di Felda Sahabat 5 Lahad Datu. – Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar
Tali jerat dibuka pada kaki anak gajah yang cedera itu. – Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar

Menurut Jafry, pada 20 Jun lalu, pemeriksaan susulan terhadap kecederaan mendapati kakinya hampir putus akibat kesan jerat terlalu ketat. Untuk mengelakkan tisu kaki menjadi lebih parah dan tidak berfungsi, bahagian pergelangan kakinya terpaksa dipotong oleh pegawai veteriner yang membuat rawatan.

“Saya amat merasa sedih kerana perbuatan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu memasang jerat telah menyebabkan kecederaan yang parah kepada anak gajah tersebut. Perbuatan memasang jerat ini merupakan satu tindakan yang amat kejam dan menyalahi undang-undang Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Untuk menyelamatkan anak gajah ini, pergelangan kakinya terpaksa dipotong. Keadaan ini menyebabkan bukan sahaja ia hilang peluang untuk hidup bebas dengan kawanannya malah ia terpaksa hidup dalam keadaan cacat seumur hidup. Pada umur kurang 2 tahun, anak gajah masih memerlukan ibunya untuk menyusu dan berinteraksi sosial dengan kawanannya,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa memburu haiwan menggunakan jerat merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 33 (1)(k)(iii), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM20,000 tetapi tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang 6 bulan tetapi tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memasang jerat untuk apa-apa tujuan sekalipun kerana perbuatan tersebut adalah menyalahi undang-undang. Saya juga menyeru kepada semua pengurusan ladang agar mempastikan pekerja mereka tidak memasang jerat di hutan kerana ini mungkin boleh mengaitkan ladang mereka dengan perbuatan kejam ini,” tegasnya.

Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000.00 bagi mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat sehingga membawa kepada penangkapan individu yang melakukan pemasangan jerat ini dan seterusnya dibawa ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini dipohon untuk menghubungi 016-810 9901. Maklumat pemberi maklumat adalah dirahsiakan dan orang ramai tidak perlu risau mengenai kebocoran identiti mereka.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS terima sumbangan untuk projek kajian dan pembudayaan STEM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular