HomeUtamaSabah belanja RM1.479 bilion dalam RP2 setakat Jun

Sabah belanja RM1.479 bilion dalam RP2 setakat Jun

Read Time:3 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Sabah telah membelanjakan sebanyak RM1.479 bilion atau kira- kira 28.15 peratus daripada agihan peruntukan RM5.254 bilion bagi 1,098 projek yang diluluskan dalam Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 12 Jun lalu.

Jumlah itu dilihat tidak begitu jauh daripada prestasi nasional yang kini telah mencapai 36.80 peratus.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap kerajaan negeri dapat mengatasi prestasi nasional yang kini telah mencapai lebih 36.80 peratus, dengan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dapat dilakukan mengikut jadual ditetapkan.

“Oleh itu, saya mahu semua kementerian dan agensi memberi perhatian dan tindakan
susulan dalam memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual agar kita dapat mengatasi prestasi nasional.

“Mana-mana peraturan yang tidak berkesan, cari kaedah baharu agar pelaksanaan dapat dibuat secepatnya. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincangkan dan seterusnya mendapatkan jalan penyelesaian kepada isu-isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan
Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua, di Menara Kinabalu, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Menteri mahu ada satu penyelarasan antara semua jabatan dan agensi Persekutuan serta negeri yang terbabit dalam pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.

“Perkara (penyelarasan) ini penting agar kita tahu di kawasan mana dan agensi mana yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini. Ia penting kerana keperluan untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang berkaitan agar sampaikan hasrat kerajaan negeri mengenai keperluan rumah PPRT di negeri ini.

“Saya dimaklumkan sebanyak 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah. Sebenarnya, jumlah ini tidak cukup kerana kita telah meminta sebanyak 2,000 unit tetapi hanya 710 yang diluluskan. Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus menuntut untuk mendapatkan lebih banyak lagi PPRT dibina di Sabah,” katanya.

Mengenai sebanyak 69 projek sakit di Sabah, Hajiji mahu agensi atau jabatan yang terbabit memberi perhatian serius terhadap perkara ini.

“Jika disebabkan jabatan atau agensi kerajaan negeri, saya meminta mereka tidak melambat-lambatkan projek daripada kerajaan Persekutuan dan beri kerjasama yang sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital, semuanya adalah untuk rakyat.

“Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan. Ini bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Makmal Sifar Projek Sakit pada 7 hingga 9 Jun yang lalu untuk mengenalpasti penambahbaikan dan inovasi bagi melancarkan pelaksanaan projek.

“Di samping itu platform tersebut juga digunakan untuk menentukan penyelesaian terhadap masalah atau isu pelaksanaan projek-projek pembangunan. Semasa makmal
ini berlangsung, Jabatan Audit Negara telah membentangkan analisis penemuan keberkesanan pelaksanaan projek Kerajaan dan salah satu projek yang berada dalam.analisis penemuan audit adalah Projek Penaiktarafan Keretapi negeri Sabah.

“Ini kerana kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) mempunyai isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir.Isu-isu tersebut tidak diambil kira semasa meluluskan peruntukan projek dan ini menunjukkan kelemahan perancangan projek,” katanya.

Hajiji berkata projek yang sepatutnya telah siap pada tahun 2019 ini hanya mencapai peratus siap 99.5% sehingga September 2021 setelah mengambil kira lima (5) EOT atau lanjutan tempoh masa (748 hari). Mengenai pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan, Ketua Menteri sekali lagi meminta ia perlu diberi keutamaan.

“Saya ingin menegaskan dalam mesyuarat ini agar perkara ini perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau juga berharap sinergi di antara jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju destinasi yang sama. “Melalui kebersamaan ini, semua pihak sudah tentu mempunyai rasa kepunyaan (sense of belonging) kepada Hala Tuju SMJ dan rasa keperluan bertindak segera (sense of urgency) bagi melaksanakan setiap inisiatif SMJ, serta rasa kebanggaan pencapaian (sense of accomplishment) bila mana menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunalam dan barisan menteri Kabinet negeri.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rusmadi Datu Sulai; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU JPM, Datuk Ruji Ubi; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Samsul Dollah.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama SPSB, DPW menjadikan Sabah sebagai hab transhipment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya