Perkampungan atas air Sembulan, KK sering dilabelkan sebagai tempat kotor dan sarang dadah?

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Perkampungan atas air sering dikaitkan dengan perkampungan setinggan yang kotor dan struktur perkampungan yang tidak selamat untuk didiami oleh masyarakat.

Persepsi negatif orang ramai membawa krew Sabah Media News meninjau keadaan penduduk di sekitar perkampungan atas air Sembulan yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu.

Terdapat banyak isu-isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat sekitar perkampungan ini selain struktur rumah yang tidak selamat, isu pengurusan sampah, penduduk tidak mempunyai dokumen, anak-anak tidak berpendidikan, sarang penagihan dan pengedar dadah dan jenayah-jenayah lain.

Rasumah Omar
Rasumah menunjukkan pagar jaring dipasang di kawasan rumahnya bagi memerangkap sampah supaya tidak merebak ke tempat lain.

Menurut seorang penduduk, Rasumah Omar, 56, warga Filipina, beliau sudah menetap di perkampungan atas air Sembulan Tengah selama 50 tahun lalu kerana mengikut keluarga berhijrah ke Sabah.

“Saya tidak minta apa-apa dengan kerajaan negeri Sabah kerana saya dan keluarga sudah cukup bersyukur selama 50 tahun tinggal di sini, kami hidup dengan aman dan sudah biasa dengan budaya rakyat Malaysia khasnya,” kata Rasumah yang bekerja sebagai tukang bersih di sebuah kedai berdekatan dengan rumahnya.

Beliau yang mempunyai sembilan orang anak itu mendapat dokumen bermastautin tetap di negara ini turut menasihatkan kepada warga Filipina yang berada dan bekerja di negara ini supaya menjaga adab dan ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Kita sudah tinggal tempat orang dan dilayan dengan baik seperti rakyat di sini, kalau kita tidak buat hal kita hidup bahagia juga di Sabah ini, jadi pandai-pandai bawa diri hidup di negara orang, buat yang baik, jangan kita bawa budaya yang tidak sepatutnya di bawa ke sini.

“Begitu lama saya tinggal di sini saya rasa bahagia bersama anak cucu saya, sebab adanya keamanan, yang penting kita tidak ada yang buat hal,” jelasnya.

Mengenai isu kebersihan di kawasan itu, Rasumah turut menjelaskan bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama bagi penduduk yang tinggal di situ.

“Menjaga kebersihan adalah menjadi tanggungjawab bersama penduduk di sini, sebelum ini memang sangat kotor dengan longgokan sampah saraf tetapi sejak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sering memantau di sini, kami telah diberi nasihat untuk sentiasa menjaga kebersihan kawasan bawah rumah dengan membina pagar jaring di halaman masing-masing supaya sampah dapat dibersihkan dengan mudah dan tidak merebak ke kawasan lain sekiranya air laut pasang,” katanya.

.Pesara veteran ATM Awang Ribin.

Dalam pada itu, menurut seorang warga tempatan yang juga tinggal di kawasan tersebut, pesara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Awang Ribin, 74, bumiputera Sabah, beliau yang sudah menetap di perkampungan atas air Sembulan Tengah selama lebih 10 tahun itu banyak mendengar tanggapan negatif masyarakat di luar sana mengenai kawasan tempat tinggal mereka.

“Selama saya, isteri dan anak-anak tinggal di sini, alhamdulillah… tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku kerana tempat tinggal kami ini sering dilabelkan sebagai tempat yang kurang baik, sarang dadah dan penjenayah serta tempat persembunyian rakyat asing.

“Setakat ini kami hidup dengan aman dan harmoni di sini, selain pihak kerajaan ada juga dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu mengadakan kempen-kempen kesedaran dari aspek menjaga kebersihan, keselamatan, juga mendapatkan tenaga pengajar sukarela untuk memberi pendidikan kepada anak-anak warga asing yang tidak bersekolah dan tiada mempunyai dokumen,” katanya.

Sementara itu, Awang Ribin berkata, beliau adalah salah seorang penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM), turut meluahkan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan dan menaikkan elaun PJM dari RM300 kepada jumlah yang lebih sedikit memandangkan harga barang juga meningkat pada masa ini.

“Cadangan menaikkan elaun pesara veteran ATM adalah untuk mengurangkan serba sedikit beban yang kami tanggung memandangkan kami tidak ada pekerjaan lain selepas besara dari ATM,” ujarnya.

Justeru, Awang Ribin turut mengharapkan kepada Kerajaan Negeri agar terus melihat keadaan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan tersebut selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *