Modul baharu ILTP bentuk insaniah belia cemerlang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Modul baharu di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) mampu membentuk insaniah belia yang cemerlang.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, modul tersebut merangkumi aspek integriti dan anti rasuah yang mampu melahirkan komuniti berintegriti dan benci rasuah.

“Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan modal insan dan kesejahteraan rakyat adalah seiring dengan pembaharuan JPSM dan institut di bawahnya melalui  penambahan modul baharu dalam program mereka.

“Modul Integriti dan Anti Rasuah adalah subjek yang mampu melahirkan komuniti berintegriti dan benci rasuah, modul ini merupakan jalinan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Konvokesyen JPSM siri 1/2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JPSM, Tianinum Iping, Timbalan Setiausaha Tetap 1 Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, Maria Chong, Timbalan Pengarah JPSM Negeri Sabah, Dayang Norsiah Awang Duraman dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Sabah, Teknologis Mohd Azmi Pelah.

Mohd Arifin berkata, JPSM juga telah memeterai memorandum persefahaman dan menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Pengajian Islam dan Dakwah (IPDAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sabah dengan mewujudkan Modul Asas Pengajian Islam sebagai subjek tambahan di ILTP.

“Modul tersebut mampu membangunkan insaniah dalam kalangan belia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai pegangan untuk sahsiah diri dan kerohanian yang tinggi,” katanya

Justeru, beliau turut menyeru kepada golongan muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seumpamanya agar mengambil peluang yang tersedia demi meningkatkan diri dan membentuk kemahiran untuk terus maju dalam bidang ekonomi seterusnya membantu keluarga.

Terdahulu, Mohd Arifin menyampaikan sijil kemahiran kepada 131 graduan yang menamatkan pengajian di ILTP terdiri daripada pelbagai bidang antaranya Penjaga Jentera Elektrik, Pemasangan Dan Penyelenggaraan Elektrik, Peralatan Penyaman Udara (HVAC), Jurukimpal Arka Logam Berperisai, Teknologi Kimpalan, dan Jurukecantikan Dan Dandanan Rambut. 

Dalam pada itu, penerima anugerah sebagai Pelatih Terbaik Program Jurukecantikan dan Dandanan Rambut, Carnivalyn Ann Arbah, 33, dari Sandakan, meluahkan rasa gembira atas pencapaiannya dan menyeru agar golongan belia mengambil peluang belajar selagi mampu.

Manakala, Pelatih Terbaik Jurukimpal Arka, Ethonrobie Jopiling, 20, berasal dari Kudat, pula mengatakan pengalamannya menimba ilmu di ILTP sangat berbaloi dan menyeru kepada belia yang mendapat keputusan kurang baik dalam SPM agar memohon belajar kemahiran bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *