Oleh NORMIMIE DIUN
PUTATAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di negeri ini supaya sama-sama membudayakan semangat gotong-royong bagi membersihkan tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi ejen kepada penularan wabak denggi.
Shahelmey berkata demikian semasa menghadiri Program Gotong-royong Mega 1.0 Peringkat Negeri Sabah di Kg Sri Pandan, dekat sini pada Sabtu. (25 Jun)
Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Putatan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Sri Pandan.
Dalam ucapannya, beliau berkata, kampung itu dipilih sebagai lokasi pelancaran program gotong-royong tersebut memandangkan Kg Sri Pandan pada enam bulan pertama tahun ini sahaja terdapat sepuluh kes jangkitan denggi berbanding tahun lalu.
“Ia merupakan satu kedaan yang membimbangkan, kita perlu tangani dengan segera kerana wabak denggi ini juga satu ancaman kesihatan umum.
“Gotong-royong ini juga menyedarkan komuniti setempat agar peka dan sedar akan menjaga kebersihan di kampung mereka supaya menghalang dari pembiakan nyamuk aedes ini,” katanya.
Menurut Shahelmey, program seumpama ini sebagai satu usaha untuk menyedarkan masyarakat agar kita menjaga kebersihan kawasan persekitaran kita dari masa ke semasa.
“Cukuplah kita mengharungi pandemik COVID-19, yang telah menguji kita dengan begitu banyak kawalan pergerakan dan telah memberi impak dalam ekonomi, kehidupan kita dan segala-galanya apa yang telah kita hadapi sejak dua tahun lalu. Jadi walaupun wabak denggi ini kita sudah lama kita dengar tetapi kita tidak patut pandang ringan,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program kebersihan ini agar usaha ini jadi manfaat kepada semua masyarakat umumnya.
“Disamping gotong-royong, ia juga mengajak kita membersihkan kawasan persekitaran kita selaras dengan Kempen Putatan Bersih yang telah dilancarkan pada April lalu untuk kita mencapai kepada keadaan kesihatan dan kebersihan yang baik di daerah Putatan ini,” ujarnya.
Seramai 250 peserta yang hadir menjayakan program tersebut selain KKM Daerah Putatan, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Queen II, KKM Kota Belud, KKM Keningau, KKM Papar, KKM Bukit Padang, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi lain termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan komuniti Kg Sri Pandan.
Turut hadir Pegawai Daerah Putatan Haryani Anah Abdul Kahar dan Pegawai Kesihatan Daerah Putatan Dr Balachandar S.Sayapathi.