KPLB Sabah sentiasa berusaha tingkat perkhidmatan kepada rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

TAMPARULI : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sentiasa berusaha meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan memperluaskan jangkauan perkhidmatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, perluasan jangkauan perkhidmatan itu akan lebih berkesan dan sepadan dengan norma serta kehendak masyarakat khususnya luar bandar.

Katanya, ini juga adalah selaras dengan aspirasi Kementeriannya dalam membantu, memperbaiki serta meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat luar bandar di Sabah.

“Pembinaan bengkel ini juga berfungsi untuk menjadi pusat pengeluaran bongkah cendawan untuk daerah Tamparuli dan daerah berhampiran.

“Secara tidak langsung, hasil pembinaan bengkel ini membuka ruang dan peluang pekerjaan khususnya dalam perniagaan cendawan kepada penduduk sekitar daerah ini dan mengelakkan penghijrahan generasi muda ke kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pembuatan Bongkah Cendawan dan Majlis Penutupan Kursus Penanaman, Penjagaan Dan Perniagaan Cendawan anjuran KPLB Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Tamparuli di Nurfirdaus Mushroom Village, Kampung Rongolis di sini.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Norlijah Danin, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Keusahawanan Industri Desa KPLB Sabah, Cornelia Gregory Kolopis Han, Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, dan mantan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Faimin Kamin.

Jahid berkata, kawasan tersebut juga berpotensi besar untuk menjadi lokasi eko-pelancongan dengan kehadiran para pelancong ke daerah ini, di samping mewujudkan peluang perniagaan yang berdaya saing dalam kalangan penduduk.

Katanya yang turut berharap agar para pegawai kanan KPLB Sabah berusaha mencari apa sahaja jenis perusahaan yang boleh mendatangkan hasil bagi membantu mengeluarkan rakyat golongan miskin tegar dan miskin daripada garis kemiskinan.

Selepas menghadiri program berkenaan,  Jahid turut berpeluang melawat ke sekitar kawasan pembuatan bongkah Cendawan Tiram dan Kodop, sambil diberikan penerangan oleh pengusaha bengkel, Jaffrin Singkod dan Chelsea Drew Balanting.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *