Pemeriksaan kesihatan penting untuk rawatan awal penyakit – Juliah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

TUARAN: Pemeriksaan kesihatan secara berkala akan membantu pengesanan awal sebarang penyakit termasuk kanser, kata Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.

Sehubungan itu beliau berharap penduduk kampung ini termasuk golongan wanita sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa agar rawatan awal dapat diambil.

“Ketahuilah bahawa pengesanan awal penyakit khususnya kanser membolehkan rawatan awal dapat dilakukan. Kanser yang dikesan di peringkat awal dan menerima rawatan awal mempunyai peluang tinggi untuk kesembuhan.

“Selain pergi ke mana-mana hospital atau klinik untuk pemeriksaan kesihatan, jika ada pemeriksaan kesihatan secara percuma seperti program hari ini, ambillah peluang ini,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Kanser di Dewan Kampung Penimbawan di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), berharap pengisian beberapa aktiviti menerusi program ini seperti saringan kesihatan, saringan kanser rahim dan kanser mulut serta pemeriksaan pergigian memberi manfaat kepada penduduk kampung ini.

“Saya juga berharap ceramah kanser yang telah disampaikan ini akan memberi pengetahuan serta kesedaran kepada semua peserta betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat serta sentiasa melakukan pengesanan awal penyakit kanser,” katanya.

Dalam masa sama, Juliah juga mahu Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) agar meluaskan program ini ke seluruh negeri khususnya di luar bandar dan pedalaman.

“Ini sejajar dengan hasrat kita yang mahu rakyat kita lebih peka dengan tahap kesihatan masing-masing, selain memberi perkhidmatan percuma kepada mereka. Semoga usaha murni PSKS ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan program kesihatan di seluruh negeri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *