Tingkat penguasaan ilmu terkini dalam era Industri 4.0

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) diseru untuk terus mempertingkatkan lagi penguasaan ilmu terkini khususnya dalam era Industri 4.0 dalam membantu agama,bangsa dan negara.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, revolusi teknologi seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT) dan Robotic Process Automation memberi kesan besar dalam setiap lingkungan kehidupan masyarakat kini.

“Sehubungan itu saya menyeru kepada seluruh graduan khususnya dan semua yang berada di dalam dewan yang indah ini untuk terus mempertingkat penguasaan ilmu terkini untuk membantu agama, bangsa dan negara.

“Pembangunan teknologi tidak boleh dihalang. Kita perlu percaya pada kekuatan diri sendiri yang kita berupaya mendepani cabaran revolusi teknologi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-23 bagi graduan Tahun 2021 sidang pertama di Dewan Canselor di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 4319 graduan diraikan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing sepanjang tiga hari majlis ini berlangsung.

Pada sidang pertama itu, seramai 461 graduan diraikan bagi program peringkat pascasiswazah dan sarjana muda.

Daripada 461 orang, 71 orang adalah graduan Doktor Falsafah (PhD), enam orang adalah graduan Doktor Kesihatan Awam (DrPH), 96 orang Sarjana Penyelidikan, 23 orang Sarjana Kerja Kursus (Pascasiswazah SPADA), 238 orang Sarjana Kerja Kursus dan 27 orang Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Pengajian Islam.

Graduan antarabangsa pula adalah seramai 99 orang yang kebanyakannya daripada negara China, Brunei, Bangladesh, dan Indonesia.

Tun Juhar berkata, masyarakat kini juga perlu segera melakukanm perubahan seperti berminda keusahawanan (‘entrepreneurial mindset’), menguasai kemahiran untuk mengharungi kehidupan (‘survival skill’) dan bersedia untuk terus belajar secara berterusan.

“ Semoga pertambahan ilmu yang diperoleh diguna bagi menabur bakti, menyemai budi kepada generasi seterusnya. Paling utama jangan pernah untuk lupa berpaling, melihat UMS dan berikan bakti kepada generasi baharu yang sedia menanti anda di sini.

“Ini rumah anda. Rumah kita bersama. Hindari sengketa, marilah bersama menjaga warisan bumi yang tercinta ini dengan ilmu pengetahuan. Ingat, ilmu senjata ampuh dalam setiap situasi,” katanya.

Majlis konvokesyen ke-23 ini turut mencipta sejarah tersendiri kerana UMS meraikan graduan sulung Program Pascasiswazah Doktor Kesihatan Awam (DrPH) yang diperkenalkan di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). 

DrPH UMS yang berada di tahap lapan mengikut Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, (MQF), telah menerima pendaftaran pertama pelajarnya pada September 2018 dan pada hari ini, akhirnya UMS telah melahirkan seramai enam orang doktor pakar dalam kesihatan awam untuk Malaysia.  

Selain itu, Majlis Konvokesyen ke-23 UMS turut melakar sejarah tersendiri apabila pada hari ini graduan pertama dari Fakulti Pengajian Islam (FIS) seramai 27 orang menerima Ijazah Sarjana Muda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *