Harga siling baharu ayam, kadar subsidi diputuskan esok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR : Harga siling baharu ayam dan kadar subsidi akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang akan bersidang esok.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga siling baharu juga akan diselaraskan dengan mengambilkira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari juga telah dipermudahkan dan sedang berjalan lancar.

“Setakat 23hb Jun, sebanyak 4,239 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM350 juta telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),” katanya menerusi hantara di Facebook rasmi beliau di sini semalam.

Terdahulu, Dr Ronald mempengerusikan mesyuarat khas isu bekalan ayam bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Kementerian Kewangan (MOF) dan pemain-pemain industri penternakan ayam.

Pelbagai isu berbangkit berkenaan bekalan dan harga pasaran ayam telah dibincang dan diperincikan.

Mesyuarat juga mengambil maklum semua pandangan dan saranan pihak industri susulan keputusan Kerajaan supaya harga ayam di pasaran tidak diapungkan.

Dr Ronald berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperolehi dengan harga kawalan yang berpatutan.

Katanya, Kerajaan akan terus memantau bekalan ayam di pasaran yang kekal stabil minggu ketiga Jun dan mencukupi untuk menampung permintaan rakyat.

“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa dan akan terus memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *